Hanya Di Itali, Anda Kini Boleh Makan Piza Panas-Panas Dengan Memesan Terus Dari ‘Vending Machine’

Penggemar piza di Itali kini boleh menikmati kelazatan hidangan popular tersebut dengan membuat pesanan terus dari mesin layan diri atau ‘vending machine’.

Yang hebatnya, piza yang dihasilkan hanya menggunakan bahan-bahan segar dan dapat disiapkan segera untuk dimakan panas-panas dalam masa 3 minit sahaja. Wow!

Bukan itu sahaja, ‘vending machine’ yang terdapat di Rom, Itali ini turut menawarkan 4 jenis piza pelbagai jenis yang berharga dari 4.50 hingga 6 euros (RM22.70 hingga RM30.25).

Lebih menyeronokkan, pembeli yang telah membuat pesanan juga boleh melihat dengan jelas langkah-langkah bagaimana proses menyediakannya dibuat melalui satu ruangan tingkap kecil.

Mr. Go Pizza
Mr. Go Pizza. (Kredit: Reuters)

Walaubagaimanapun, mesin layan diri berwarna merah menyala yang diuruskan oleh jenama “Mr. Go Pizza” ini tidak beroperasi di Malaysia serta status Halalnya juga amat diragui.

Ulasan awal di Rom pada Mei lalu mendapati ramai penggemar piza masih boleh menerima piza ‘segera’ ini yang amat sesuai dengan mereka yang sentiasa mengejar masa.

Seorang pesara, Claudio Zampiga berkata, “Nampak sedap tapi agak kecil dan ‘topping’nya juga agak sikit kalau nak dibandingkan dengan piza yang dibeli di restoran”.

Fabrizia Pugliese yang menetap di Naples dan menuntut di sebuah universiti di Rom mengecam piza yang dibuat dengan cara ini kerana rasanya hanyalah seperti ‘piadina’ sahaja iaitu sejenis roti nipis yang popular di kawasan utara Itali.

Oklah, tapi ini bukan piza sebenar,” ulas beliau.

Gina, yang merahsiakan nama penuhnya pula menentang sekeras-kerasnya konsep ‘vending machine’ piza yang kini semakin popular di Itali.

Teruk. Tidak sesuai dengan selera saya,” ujar Gina.

Seorang lagi pemuda bernama Giovanni Campana yang ditemui berkata, “Saya tak pernah terfikir pun untuk makan piza yang dibuat oleh mesin”, katanya sambil sedang memasukkan sekeping piza buatan ‘vending machine’ tersebut ke dalam mulut.

‘Vending Machine’ pizza di Rom, Itali
‘Vending machine’ piza di Rom, Itali. (Kredit: Reuters)

Didapati masih ramai penduduk di Itali rupa-rupanya lebih gemarkan pengalaman melihat sendiri proses menghasilkan piza yang dibuat oleh seorang ‘pizzaiolo’ atau pembuat piza.

Ini termasuklah proses menyediakan doh, sehinggalah proses memasukkannya ke dalam oven batu bata untuk dibakar dengan menggunakan kayu api. Semua ini boleh dilihat sendiri dari meja makan mereka.

Hasil kajian kami dapati, syarikat yang membangunkan inovasi mesin layan diri ini sebenarnya berasal dari Dubai, Emiriah Arab Bersatu.  Syarikat subsidiarinya yang berpangkalan di Bolzano, Itali yang bertanggungjawab menghasilkan ‘vending machine’ piza ini.

Jenis-jenis ‘vending machine’ untuk pizza
Jenis-jenis ‘vending machine’ untuk piza. (Kredit: Letspizza.com)

Bermula dari populariti piza klasik ‘Margherita’ yang dibawakan oleh Raffaele Esposito pada 1889, sehinggalah menjadi makanan segera kegemaran ramai di Amerika Syarikat termasuklah oleh watak-watak ‘Ninja Turtles’, kini piza akhirnya boleh dibeli di ‘vending machine’ sahaja.

‘Vending machine’ piza di Itali ini sememangnya merupakan satu ide hebat. Lebih-lebih lagi dengan musim PKP yang membataskan pergerakan orang ramai sekarang ini.

Hanya menunggu masa sahaja, mungkin selepas ini kita dapat lihat ‘vending machine’ untuk Nasi Kukus Ayam Berempah ‘Viral’, Char Koay Teow Kerang ‘Meletop’ ataupun Takoyaki ‘Cheese Leleh’ pula.

Sumber: CNN