Walaupun Pandemik COVID-19 Belum Berakhir, ‘Avengers Campus’ Tetap Akan Dibuka Pada 4 Jun Ini

Satu lagi tarikan terbaru taman tema di Disneyland Resort iaitu Avengers Campus tetap akan dibuka pada 4 Jun 2021, meskipun dunia masih lagi bergelut dengan bahaya pandemik COVID-19.

Avengers Campus, Disney California Adventure Park
Avengers Campus, Disney California Adventure Park. (Kredit: Disney)

Pembukaan rasmi Avengers Campus yang dijadualkan pada 4 Jun tersebut menawarkan pelbagai tarikan untuk peminat siri filem Avengers.

Terletak di Aneheim, California, Disneyland Resort terbahagi kepada 2 taman tema iaitu Disneyland Park dan Disney California Adventure Park.

Avengers Campus merupakan salah satu dari daya tarikan terbaru Disney California Adventure Park. Bersebelahannya pula, Disneyland Park sebelum ini menjadi tumpuan ramai apabila membawa tarikan baru iaitu Star Wars: Galaxy’s Edge pada 31 Mei 2019.

Pembukaan rasmi Avengers Campus pada 4 Jun ini walaubagaimanapun, masih dibuat dengan kawalan ketat oleh pihak berkuasa tempatan.

Kerajaan negeri California menetapkan hanya 35% kapasiti dibenarkan untuk taman tema ini beroperasi. Namun, perintah ini hanya terpakai sehingga 15 Jun ini sahaja.

Dalam tempoh berkenaan, pihak Disney pula hanya membenarkan penduduk tetap di sekitar California sahaja untuk menjadi pengunjung terawal.

Avengers Headquartes
Avengers Headquartes. (Kredit: Disney)

Setiap kumpulan pengunjung pula mestilah tidak melebihi dari 3 orang. Untuk itu juga, bukti pengesahan tempat tinggal perlu disertakan untuk tujuan semakan.

Kerajaan negeri California juga amat mengalu-alukan pengunjung Avengers Campus pada 4 Jun ini untuk divaksinasi penuh terlebih dahulu ataupun memiliki status negatif dalam ujian saringan COVID-19 sebelum berkunjung ke sana.

Web Slingers – A Spider-Man Adventure
Web Slingers – A Spider-Man Adventure. (Kredit: Disney)

Topeng muka pula adalah diwajibkan untuk dipakai pada setiap masa kecuali ketika sedang makan atau minum di tempat yang disediakan sahaja.

Tiket-tiket berharga di antara AS$72 hingga AS$118 (RM297 hingga RM487) telah mula dijual atas talian. Anak-anak kecil yang berumur di bawah 3 tahun dibenarkan masuk secara percuma.

Sebelum ini, disebabkan oleh wabak COVID-19, pembukaan Avengers Campus yang dijadualkan pada 18 Julai 2020 telah ditunda.

Guardians of the Galaxy – Mission Breakout!
Guardians of the Galaxy – Mission Breakout! (Kredit: Disney)

Turut dijadualkan untuk dibuka oleh Disney dalam masa tersekat ialah Avengers Campus Paris di Disneyland Paris dan Stark Expo Hong Kong di Disneyland Hong Kong.

Shawarma Palace
Shawarma Palace. (Kredit: Disney)

Untuk pembukaan rasmi Avengers Campus di California pada 4 Jun ini, berikut merupakan tarikan-tarikan utamanya: Guardians of the Galaxy – Mission Breakout!, Guardians of the Galaxy – Awesome Dance Off!, Heroic Encounters, Web Slingers: A Spider-Man Adventure, Ancient Sanctum dan akhir sekali Avengers Headquarters.

Pym Tasting Lab
Pym Tasting Lab. (Kredit: Disney)

Restoran-restoran yang turut akan dibuka pada hari tersebut ialah Pym Test Kitchen, Pym Tasting Lab, Shawarma Palace dan Terran Treats.

The Collector’s Warehouse
The Collector’s Warehouse. (Kredit: Disney)

Superhero kegemaran ramai yang bakal ‘hadir’ termasuklah Iron Man, Captain America, Spider-Man, Black Panther, Captain Marvel, Black Widow, Thor, Doctor Strange, Ant-Man, The Wasp, The Guardians of the Galaxy dan ramai lagi.

Sumber: Disney California Adventure Park