
Mesti ramai yang teringin nak belajar cara ‘homemade’ atau buat sendiri sosej ayam, kan? Sudah tentu kalau kita buat sendiri atau ‘homemade’ mesti lebih sedap sosej ayam tu.
Anak-anak kecil di rumah pun dah tentu lebih gemarkannya. Yang pasti, sosej ayam ‘homemade’ ini bukan sahaja lebih sedap, tetapi juga lebih berkhasiat kerana kurang bahan pengawet.
Selepas ini, tidak perlulah berbelanja lebih untuk membeli sosej ayam di kedai lagi. Untuk yang sukakan sosej cendawan, bolehlah juga mencampurkan sedikit cendawan ke dalam ramuan sosej ini.
Jom kita cuba buat sendiri sosej ayam ‘homemade’.
Bahan-bahannya ialah:
2kg isi ayam
1 labu bawang putih
4 biji telur
6 sudu besar tepung ubi
Perencah Cukup Rasa
Herba campuran
Cendawan shitake yang dikisar kering (untuk sosej cendawan)
Piping Bag
Plastik aiskrim
Cara-caranya ialah:
1) Kisar isi ayam dengan telur dan bawang putih. Masukkan sedikit cili sekiranya anda sukakan pedas.
2) Masukkan bahan-bahan lain iaitu telur, tepung ubi, perencah Cukup Rasa, herba campuran dan gaulkannya sekali. Untuk penggemar sosej cendawan, bolehlah dimasukkan sekali cendawan shitake yang telah dikisar.
3) Setelah digaul sebati, masukkan bahan-bahan tadi ke dalam piping bag. Gunakan piping bag tersebut untuk memudahkan proses memasukkan bahan-bahan tadi ke dalam plastik aiskrim.
4) Didihkan air terlebih dahulu dan masukkan sosej-sosej yang telah siap di dalam plastik aiskrim tadi ke dalam air yang sedang mendidih untuk merebuskannya.
5) Sekiranya sudah masak, sosej tadi bolehlah diangkat dan direndam di dalam air sejuk untuk seketika.
6) Selesai proses menyejukkan sosej-sosej tadi, tibalah masa untuk mengeluarkannya dari bungkusan plastik-plastik aiskrim tersebut.
7) Sudahpun siap! Sekarang anda sudah boleh menggoreng sosej-sosej ini untuk dimakan pada bila-bila masa.
Tidak sampai sejam pun masa yang diambil untuk menyediakan sosej ayam ni. Kini anda boleh menikmati sosej ayam buatan sendiri atau ‘homemade’ yang sedap, enak dan gerenti disukai oleh anak-anak.
Selamat mencuba!
Sumber: Facebook Noor Saficka