China Bina Kapal Titanic Berskala Penuh Bagi Tujuan Pelancongan

China kini dikhabarkan sedang membina kapal Titanic berskala penuh di sebuah taman tema bagi tujuan pelancongan.

China kini dikhabarkan sedang membina kapal Titanic berskala penuh
China sedang membina kapal Titanic berskala penuh. (Kredit: AFP/Getty Images)

Pembinaan replika kapal RMS Titanic berskala penuh tersebut kini sedang giat dijalankan di sebuah taman tema di barat daya China.

Setiap sudut pembinaan kapal yang bersaiz 850 kaki tersebut dilakukan dengan terperinci dari ruang makan sehinggalah ke pemegang pintu.

Ini bermakna, replika kapal Titanic berskala penuh yang sedang dibina tersebut bakal siap dan menjadi seakan-akan rekabentuk kapal Titanic asli yang tenggelam semasa pelayaran sulungnya pada tahun 1912.

Replika kapal yang sangat besar tersebut juga akan tetap berlabuh di sebuah kawasan takungan air yang terletak di luar bandar wilayah Sichuan, lebih kurang 1000km atau 620 batu dari laut.

Replika kapal Titanic berskala penuh dalam pembinaan
Replika kapal Titanic berskala penuh dalam pembinaan. (Kredit: AFP/Getty Images)

Namun, pengunjung yang dijangka akan dikenakan caj bayaran sebanyak 2,000 yuan (RM1110) untuk “perkhidmatan pelayaran lima bintang” tersebut bakal menikmati suasana berada di laut yang sebenar apabila enjin wap kapal tersebut berfungsi.

Seorang pelabur dalam projek yang bernilai berbilion yuan (RM 555 juta) tersebut, Su Shaojun berkata, beliau hanya berminat untuk memperingati dan menghidupkan semula kenangan terhadap kapal pelayaran tersebut agar terus kekal abadi.

Saya berharap kapal ini akan terus berada di sini untuk 100 atau 200 tahun lagi,” katanya. “Kami sedang membangunkan sebuah muzium kenangan khas bagi memperingati Titanic,” ujarnya lagi.

Su Shaojun bersama dengan model kapal Titanic.
Su Shaojun bersama dengan model kapal Titanic. (Kredit: AFP/Getty Images)

Lebih dari 100 tenaga kerja, 23,000 tan besi dan 6 tahun telah berlalu setakat ini untuk kerja-kerja pembinaan replika kapal Titanic berskala penuh tersebut.

Turut dibina ialah sebahagian dari pelabuhan Southampton, tempat bermulanya pelayaran Titanic ke New York, sebelum kapal tersebut karam empat hari kemudiannya.

Pelabuhan ini turut dimuatkan dalam filem Titanic (1997) arahan James Cameron yang menyaksikan watak Jack (lakonan Leonardo DiCaprio) berjaya memenangi tiket di saat-saat akhir dan ditakdirkan bertemu dengan Rose (lakonan Kate Winslet) di atas kapal malang tersebut.

Bas pelancongan yang membawa pengunjung ke replika kapal ini turut akan memainkan lagu tema, “My Heart Will Go On” alunan Celine Dion, secara berulang-ulang kali bagi membawa pengunjung mengimbau kembali kenangan menonton filem epik yang sangat popular di China tersebut.

Poster filem Titanic (1997)
Poster filem Titanic (1997). (Kredit: Paramount Pictures/20th Century Fox)

Walaubagaimanapun, projek replika Titanic berskala penuh yang disasarkan akan menerima 5 juta pengunjung setiap tahun ini pernah dikritik kerana ianya agak tidak sesuai dan tidak sensitif dengan nasib ramai penumpangnya yang terkorban.

Sekurang-kurangnya 1,500 orang telah meninggal dunia setelah Titanic berlanggar dengan aisberg sekitar 375 batu dari Newfoundland pada tahun 1912.

Hanya dalam beberapa minit sahaja, kebanyakan dari penumpang Titanic telah terkorban setelah kapal tersebut karam dan mereka terpaksa terjun ke dalam lautan beku.

Krew kapal Titanic pada masa itu juga tidak bersedia untuk menangani situasi kecemasan tambahan pula bot penyelamat tidak mencukupi untuk semua penumpang.

Replika yang dibina di China ini merupakan replika kapal RMS Titanic berskala penuh pertama yang seumpamanya dibina di dunia. Manakala set filem Titanic James Cameron pula, hanyalah 90 peratus dari ukuran asal kapal pelayaran tersebut.

Tarikh pembukaan taman tema ini masih belum diumumkan. Yang pasti, ramailah selepas ini yang seronok nak tiru babak “I’m flying!” atau “I’m the king of the world!” nanti.

Jangan mengada-ngada nak tiru babak “Draw me like one of your French girls”, sudahlah.

Sumber: Independent