Lokasi Penggambaran Paling Popular Dan Ikonik Di New York

Terdapat banyak lokasi penggambaran filem dan siri TV yang popular dan ikonik di New York. Memang agak sukar untuk mendapatkan satu senarai yang lengkap untuk dijadikan rujukan.

Lokasi penggambaran popular dan ikonik di New York ini sering kita lihat dalam filem-filem pecah panggung. Tidak kiralah sama ada filem tersebut merupakan filem aksi, komedi, romantik mahupun filem seram.

Berikut merupakan 3 lokasi penggambaran paling popular dan ikonik di New York:

1) Statue of Liberty

Statue of Liberty, New York
Statue of Liberty, New York. (Kredit: Hotels.com)

Terlalu banyak filem yang menjadikan ikon popular ini sebagai latar belakang atau plot penting yang mengupas makna simbolik dan juga tersirat. Ini termasuklah filem The Godfather: Part II (1974) dan Titanic (1997).

Babak-babak mencemaskan pula dapat dilihat dalam filem-filem seperti Ghostbusters II (1989), X-Men (2000) dan The Day After Tomorrow (2004).

Pasti ramai yang tidak lupa babak kepala patung gergasi ini tercabut dan terpelanting akibat raksasa kaiju yang mengganas dalam Cloverfield (2008). Sudah tentu ramai juga yang terkejut dengan kemunculan patung ikonik ini di pengakhiran filem Planet Of The Apes (1968).

2) Empire State Building

Empire State Building, New York
Empire State Building, New York (Kredit: Hotels.com)

Lebih dari 250 filem dan siri TV memaparkan keindahan mercu tanda tinggi yang tersergam indah ini. Empire State Building mempunyai dek tinjau yang sangat terkenal dan sentiasa dibuka kepada orang ramai untuk melihat bandaraya New York dari ruang angkasa.

Bangunan 102 tingkat ini dipopularkan dalam filem-filem klasik seperti King Kong (1933) dan An Affair to Remember (1957). Peter Jackson sekali lagi turut menggunakannya dalam versi terbaru King Kong (2005).

Di samping itu, bekas bangunan tertinggi di dunia ini (dari 1931 hingga 1970) juga dipaparkan dalam aksi pertempuran filem Superman II (1980), babak makhluk asing memusnahkannya dalam Independence Day (1996) serta babak romantis Tom Hanks dan Meg Ryan dalam Sleepless in Seattle (1993) dan juga Tom Cruise bersama Olga Kurylenko dalam Oblivion (2013).

3) Times Square

Times Square, New York
Times Square, New York. (Kredit: Hotels.com)

Dikenali sebagai ruang pejalan kaki paling sibuk di dunia, Times Square sering ditonjolkan sebagai kawasan yang penuh sesak dan bising dengan teksi berwarna kuning, papan iklan besar dan bercahaya serta hiruk-pikuk pelancong dan penghibur jalanan.

Lokasi ikonik ini dipilih dalam penggambaran filem Teenage Mutant Ninja Turtles (2014), The Amazing Spider-Man 2 (2014), Fast & Furious 8 (2017) dan banyak lagi.

Paling tidak dapat dilupakan ialah babak flash mob dalam filem Friends with Benefits (2011), Steve Rogers ‘terjaga selepas 70 tahun’ dalam Captain America: The First Avenger (2011), Tom Cruise berlari seorang diri dalam Vanilla Sky (2001) dan filem Birdman or (The Unexpected Virtue of Ignorance) (2014) yang menyaksikan Michael Keaton beraksi hanya dengan berseluar dalam.

Banyak lagi lokasi penggambaran popular dan ikonik di New York. Dari tempat baju Marilyn Monroe terangkat dihembus angin subway di Lexington Avenue dalam The Seven Year Itch (1955) sehinggalah tempat Joaquin Phoenix menuruni tangga sambil menari di Anderson Avenues dalam Joker (2019), semua lokasi tersebut kini boleh dikunjungi orang ramai.

Pasti ada juga yang ingin melawat lokasi penggambaran popular dan ikonik di New York seperti yang ditonjolkan dalam filem-filem Avengers, John Wick, Spider-Man, Enchanted serta siri TV Seinfeld, Friends, Felicity dan Sex and the City, kan?

Kalau teringin, bolehlah merancang untuk ke New York sekarang. Mungkin selepas pandemik COVID-19 ini berakhir, anda berpeluang untuk mengunjungi lokasi-lokasi penggambaran popular di kota Big Apple tersebut.

Sumber: Hotels.com