Gara-Gara ‘BTS Meal’, Sistem Penghantaran McDonald’s Lumpuh

‘BTS Meal’ benar-benar menguji kecekapan sistem penghantaran McDonald’s Malaysia. Semuanya bermula apabila Malaysia menjadi negara pertama di Asia yang menerima menu tersebut.

Sistem penghantaran McDonald’s ataupun McDelivery ini dikatakan tergendala teruk hasil dari penangan ‘BTS Meal’ pada 26 Mei 2021 yang lalu.

Difahamkan hanya 49 negara di dunia yang berpeluang untuk menikmati hidangan set makanan McDonald’s yang dikenali sebagai ‘BTS Meal’ iaitu kolaborasi di antara kumpulan K-Pop popular dengan francais restoran makanan segera terkemuka itu.

Seorang pelanggan bersama BTS Meal
Seorang pelanggan bersama BTS Meal. (Kredit: Miera Zulyana/Malay Mail)

Malaysia merupakan satu-satunya negara Asia dari 12 negara lain di dunia yang pertama menerima menu ‘BTS Meal’ tersebut mendahului Singapura, Korea Selatan, Vietnam, Fillipina dan Indonesia.

Susulan itu, kedua-dua sistem pesanan penghantaran atas talian McDonald’s melalui aplikasi telefon pintar dan laman web dikhabarkan telah terhenti buat sementara waktu pada hari pelancarannya.

Rata-rata pengguna Twitter di Malaysia juga telah melahirkan rasa ghairah dan teruja berkongsi pengalaman menjadi antara yang pertama dan bertuah kerana mendapat peluang ini.

Faktor utama yang menjadi ‘kegilaan’ ini turut dipercayai angkara sekumpulan peminat tegar BTS yang menggelarkan diri mereka ARMY.

Orang ramai yang ingin mendapatkan BTS Meal di McDonald’s Seksyen 3, Shah Alam pada 26 Mei 2021
Orang ramai yang ingin mendapatkan BTS Meal di McDonald’s Seksyen 3, Shah Alam pada 26 Mei 2021. (Kredit: Miera Zulyana/Malay Mail)

‘BTS Meal’ mengandungi set kegemaran penyanyi berkumpulan lelaki itu yang tersendiri iaitu 10 keping Chicken McNuggets, French Fries dan Coca-Cola bersaiz sederhana serta sos cili manis dan sos ‘cajun’ yang diinspirasikan dari resepi popular McDonald’s Korea Selatan.

Harga setiap set bermula dari RM15.70, namun harga ini masih tertakluk kepada caj penghantaran.

Menghampiri pukul 10 pagi ketika detik-detik bersejarah ‘BTS Meal’ akan mula ‘diserbu’ peminat, McDonald’s Malaysia sempat berkongsi tip agar pembeli dan pengunjung dapat menikmati hidangan tersebut dengan selamat tanpa perlu risau dengan bahaya pandemik COVID-19.

Kakitangan McDonald’s yang bertungkus-lumus menyiapkan pesanan BTS Meal
Kakitangan McDonald’s yang bertungkus-lumus menyiapkan pesanan BTS Meal. (Kredit: Miera Zulyana/Malay Mail)

Dengan menggunakan perkhidmatan penghantaran McDelivery, McDonald’s memberi jaminan bahawa setiap pesanan akan dihantar dengan segera dan orang ramai tidak perlu bersesak-sesak kerana hidangan tersebut sentiasa mencukupi untuk semua.

Kolaborasi istimewa di antara McDonald’s dan BTS ini turut melahirkan ‘Top Trending Topics’ melalui Twitter di Malaysia dengan tanda pagar #BTSMeal,  #BTSxMcDonalds dan #McDelivery.

Ramai peminat BTS turut meluahkan rasa kecewa mereka menggunakan tanda pagar tersebut kerana ramai di antara mereka gagal untuk mendapatkan ‘BTSMeal’ disebabkan kedua-dua sistem pesanan penghantaran atas talian McDonald’s telah lumpuh.

Mereka yang gagal hanya mendapat pesanan berikut: “Harap bersabar. Oleh kerana trafik yang tinggi, anda kini ditempatkan di ruang menunggu maya. Anda akan diarahkan ke laman web kami sebentar lagi.

Mereka yang bernasib baik pula sempat memuat naik gambar pengalaman manis mereka bersama-sama dengan bungkusan bertemakan warna ungu yang turut disertakan dengan logo BTS tersebut.

Ada juga yang berhempas-pulas memastikan bungkusan dan cawan minuman yang digunakan untuk hidangan istimewa edisi terhad ini tidak rosak dan berminyak untuk disimpan sebagai kenang-kenangan.

Awal minggu ini, BTS berjaya merangkul 4 anugerah di Billboard Music Awards 2021 di Los Angeles, California.

Sumber: Malay Mail