Lebih 45 Buah Restoran Nando’s Di UK Terpaksa Ditutup Akibat COVID-19

Wabak COVID-19 yang mengganas di United Kingdom (UK) ketika ini ‘mengorbankan’ mangsanya yang terbaru iaitu rangkaian restoran Nando’s yang terpaksa ditutup!

Namun, penggemar ayam dengan sos PERi-PERi kini boleh menarik nafas lega kerana sebenarnya penutupan ini hanyalah bersifat sementara sahaja.

Lebih melegakan, restoran Nando’s yang ditutup ini sebenarnya hanya melibatkan sebilangan kecil restoran di UK sahaja.

Jurucakap Nando’s telah mengesahkan sehingga kini 45 dari 450 buah rangkaian restorannya terpaksa ditutup kerana masalah kekurangan bekalan.

Restoran-restoran yang ditutup ini merangkumi kawasan di sekitar England, Scotland dan Wales yang menyebabkan ramai pelanggannya mula melahirkan rasa tidak puas hati di media sosial.

Baca juga: Akibat Penangan ‘BTS Meal’, McDonald’s Di Negara Ini Terpaksa Ditutup

Masalah utama yang menjadi penyumbang kepada penutupan ini sebenarnya disebabkan oleh rantaian bekalan yang terputus akibat COVID-19.

Kebanyakan pekerja yang bertugas dalam sektor pengedaran dan penghantaran telah diminta untuk melakukan pemantauan dan pengasingan kendiri sekiranya mereka merupakan kontak rapat pesakit COVID-19.

Ketika individu yang positif COVID-19 semakin meningkat di UK, pekerja dalam sektor ini juga semakin terdedah dan dikhuatiri menjangkiti orang lain.

Oleh yang demikian, mereka tidak dibenarkan bekerja dan hal ini menyebabkan kekurangan bilangan pekerja yang teruk sehingga menjejaskan rantaian penghantaran bekalan.

Jadual penghantaran yang tidak menentu inilah yang menjadi punca bekalan ayam tidak mencukupi sehingga 1/10 restoran Nando’s di UK terpaksa ditutup sejak beberapa minggu ini.

Foto Twitter
– Foto Twitter

Nando’s turut menasihatkan para pelanggannya untuk menyemak terlebih dahulu laman web rasmi mereka sebelum datang mengunjungi rangkaian restoran mereka untuk mengelak dari kecewa.

Sejak Nando’s mula dibuka pada tahun 1987 di Johannesburg, Afrika Selatan, tiada siapa pun yang menyangka akan berlaku situasi sukar seperti ini.

Minggu lalu, rangkaian restoran KFC di UK turut menghadapi masalah yang sama sehingga terpaksa menghentikan penjualan beberapa hidangan dalam menunya.

Ketika ini, Nando’s turut menawarkan 70 pekerjanya untuk bertugas sementara di pusat-pusat pembekalan yang terjejas teruk.

Langkah ini dijangka dapat membuka semula rangkaian restoran Nando’s di sekitar UK ini dari terus ditutup menjelang hujung minggu.

Sumber: TheGuardian.com