Resipi Dalgona Candy ‘Squid Game’ Hanya Menggunakan 2 Bahan

Peminat siri TV Korea popular Squid Game yang teringin nak cuba sendiri cabaran Dalgona Candy di rumah bolehlah mencuba resipi di bawah.

Tak susah pun. Senang je cara untuk membuatnya. Anak-anak kecil di rumah pun boleh cuba untuk membuatnya bersama-sama dengan ibu bapa masing-masing.

Bahan-bahan yang digunakan pun sebenarnya tak banyak. Dalgona Candy Squid Game ini hanya menggunakan 2 bahan yang mudah didapati di dapur. Hari-hari nak buat pun boleh.

Dalgona Candy atau Korean honeycomb toffee/cookie ini turut dikenali sebagai Ppopgi dan menjadi popular selepas diperkenalkan dalam siri TV Netflix Squid Game baru-baru ini.

Ppopgi yang bermaksud ‘untuk dicungkil’ merupakan permainan tradisi yang terkenal ketika era 60-70an lagi dan ianya sering dijual oleh penjaja di sekitar kawasan sekolah.

Kanak-kanak yang bermain permainan ini diberi cabaran untuk cuba mencungkil bahagian tengah yang rapuh dan dihasilkan dalam pelbagai bentuk tanpa mematahkan mana-mana bahagian rupanya.

Mereka sering menggunakan jarum atau pencungkil gigi untuk tujuan ini. Sekiranya berjaya, kadangkala mereka diberikan hadiah untuk mencubanya lagi untuk kali kedua.

Dalam episod ke-3 Squid Game yang berjudul ‘The Man with The Umbrella’, para peserta dikehendaki untuk menghabiskan cabaran ini tanpa mematahkan walaupun sedikit bentuk rupanya dalam 10 minit.

Foto Netflix Inc.
– Foto Netflix Inc.

SPOILER: Mana-mana peserta yang gagal atau tidak sempat menghabiskan cabaran ini setelah masa yang diberikan tamat, akan ditembak mati.

Ramai penonton sangat teruja untuk mencuba sendiri cabaran ini. Platform media sosial seperti TikTok dipenuhi dengan gelagat peminat Squid Game yang ingin merasai sendiri kesukaran melakukannya.

Baca juga: Makan Sambil Main ‘Squid Game’, Kafe Ini Tawar Pengalaman Unik Buat Pelanggannya

Kini anda boleh mencuba sendiri resipi untuk membuatnya dan alami sendiri pengalaman mendebarkan peserta-peserta Squid Game tersebut.

Masa penyediaan dan memasak: 5 minit
Saiz hidangan: Sekeping hanya untuk dimakan/dimain oleh 1 orang

Bahan-bahan untuk menyediakannya ialah:

1) 1½ sudu besar gula.

2) Secubit baking soda.

Foto HonestFoodTalks.com
– Foto HonestFoodTalks.com

Cara-cara untuk menyediakannya ialah:

1) Masukkan 1½ sudu besar gula ke dalam acuan.

2) Kacau dan biarkannya cair menggunakan api sederhana atau kecil.

3) Taburkan secubit baking soda ke dalam gula yang telah cair tersebut dan gaul rata.

4) Tuangkannya ke atas kertas minyak atau parchment paper.

5) Leperkan sehingga permukaannya menjadi nipis.

6) Gunakan cookie cutter untuk menjadikannya sebarang bentuk yang anda suka.

7) Biarkannya sejuk.

Ok, siap! Dah boleh mula mencungkil. Cuba habiskan cabaran ini dalam masa 10 minit. Adakah anda layak untuk menjadi seorang pemain Squid Game?

Foto HonestFoodTalks.com
– Foto HonestFoodTalks.com

Sumber: HonestFoodTalks.com