
Ini resipi untuk menyediakan murtabak pasta yang dijamin sedap dan amat mudah untuk disediakan pada bila-bila masa dan di mana sahaja.
Biasa kita dengar kelazatan murtabak Maggi saja, kan? Tak sangka rupa-rupanya resipi untuk membuat murtabak pasta yang sedap pun sebenarnya dah lama ada.
Sudah tentulah dengan menggantikan mi segera dengan pasta, rasa dan teksturnya juga amat berbeza. Murtabak juga pasti akan menjadi lebih tebal.
Bagaimana pula dengan rasanya? Betul ke ianya lebih enak? Jom cuba sendiri resipi murtabak pasta yang gerenti sedap ini.

Masa penyediaan: 10 minit
Masa memasak: 15 minit
Saiz hidangan: Boleh dimakan oleh 4 orang
Baca juga: Resipi Kepak Ayam Goreng Rangup ‘Homemade’ Ala 4Fingers
Bahan-bahan untuk menyediakannya ialah:
- 120g pasta jenis spiral yang telah siap dimasak.
- 4 sudu besar mayonis.
- 6 sudu besar sos spageti.
- 4 sudu besar minyak masak.
- 120g bawang besar yang telah siap dicincang halus.
- 350g isi ayam yang telah siap dikisar.
- 8 biji telur ayam.
- ¼ cawan air suam.
- Garam dan lada sulah secukup rasa.
Cara-cara untuk menyediakannya ialah:
- Panaskan 2 sudu besar minyak di dalam kuali dan tumis bawang besar sehingga naik bau.
- Masukkan isi ayam dan goreng sehingga ianya masak lalu diangkat atau diketepikan.
- Masukkan telur ke dalam mangkuk, tambahkan mayonis, sos spageti, air suam dan pukul sehingga gebu.
- Tambahkan ayam yang siap digoreng tadi dan masukkan sekali garam dan lada sulah secukup rasa.
- Panaskan 2 sudu besar minyak masak lagi ke dalam kuali.
- Tuangkan campuran telur yang dipukul sehingga gebu tadi ke dalam kuali dan biarkannya mendidih.
- Masukkan pasta dan masak sehingga tekstur telur tersebut menjadi pejal.
- Terbalikkan campuran telur tadi dengan berhati-hati dan teruskan memasak sehingga kedua-dua belahnya berwarna perang keemasan.
- Angkat dan hidangkan. Sesuai dimakan panas-panas begitu sahaja atau boleh juga dicicah dengan kuah kari atau sirap bawang.
Tip: Untuk menyediakan murtabak pasta dalam kuantiti yang banyak (misalnya untuk dijadikan hidangan ketika jamuan), cuba kaedah berikut:
- Alas dulang bakar dengan kertas minyak, tuangkan separuh campuran telur, tambahkan pasta dan isikan dengan campuran telur yang selebihnya.
- Bakar dalam ketuhar yang telah dipanaskan pada suhu 150˚C selama 10-15 minit.
- Potongkannya menjadi kepingan-kepingan kecil selepas sejuk.
Sumber: Kimball.com.my