
Penggemar ayam goreng pasti pernah mengunjungi rangkaian restoran 4Fingers yang menyediakan hidangan kepak ayam goreng yang sangat lazat.
Memang tak puas rasanya kalau makan di restoran. Kalau dapat buat sendiri dan menikmatinya bersama keluarga di rumah pasti lebih puas, kan?
Jom sama-sama kita cuba resipi kepak ayam goreng 4Fingers yang dikongsikan oleh Aznida Aziz ini.

Bahan-bahan untuk menggoreng kepak ayam ialah:
1) 1kg kepak ayam
2) Garam
3) Lada hitam
4) Sos tiram
5) Herba campuran
6) Tepung jagung
Bahan-bahan untuk membuat sosnya pula ialah:
1) Bawang putih
2) Garam
3) Mentega
4) 3 sudu besar madu
5) 3 sudu besar gula perang
6) 2 sudu besar sos tiram
7) Empingan cili
Baca juga: Buat Sendiri ‘BTS Meal’ Siap Dengan Sos Cajun McDonald’s Dengan Resipi Mudah Ini
Cara menggoreng ayam:
1) Potong kepak ayam dan gaul rata bersama sedikit garam, lada hitam, sos tiram dan herba campuran.
2) Perapkan kepak ayam tersebut dan pastikan bahan-bahan yang dimasukkan tadi sebati dengannya.
3) Celup kepak ayam yang diperapkan tadi ke dalam tepung jagung dan pastikan ianya disaluti sepenuhnya.
4) Panaskan minyak masak di dalam kuali untuk proses menggoreng kepak ayam sebanyak dua kali.
5) Untuk menggoreng kali pertama, lakukannya secara separuh masak iaitu selama lebih kurang 4 minit dengan menggunakan api sederhana besar.
6) Angkat dan toskan kepak ayam tersebut sebelum memulakan proses menggoreng kali kedua.
7) Bersihkan minyak yang digunakan untuk menggoreng ayam tadi dengan mengeluarkan sisa-sisa serdak tepung yang berada di dalamnya.
8) Panaskan kembali minyak tersebut dan masukkan semula kepak ayam yang digoreng separuh masak tadi setelah minyak betul-betul sudah panas.
9) Kali ini, goreng kepak ayam tersebut sehingga ia menjadi benar-benar garing.
10) Angkat dan sekali lagi toskan kepak ayam tesebut.
Cara memasak sos:
1) Tumis bawang putih yang dicincang halus bersama-sama dengan mentega, 2 sudu sos tiram, 3 sudu besar gula perang dan sedikit garam sekiranya perlu sehingga naik bau.
2) Masukkan pula 3 sudu besar madu bersama-sama dengan empingan cili ke dalam tumisan tadi dan gaul rata.
3) Matikan api dan gaulkan sos ini bersama-sama dengan kepak ayam yang digoreng tadi.
Fuh! Memang sebiji rasa macam kepak ayam goreng 4Fingers!
Kredit: Aznida Aziz