Guinness World Records Mengiktiraf Kentang Goreng Ini Sebagai Termahal Di Dunia

Tidak dapat dibayangkan bagaimana agaknya keenakan rasa kentang goreng yang mendapat pengiktirafan Guinness World Records sebagai yang termahal di dunia ini.

Apakah pula yang sebenarnya menyebabkan kentang goreng ini menjadi terlalu mahal sehingga berjaya mencipta satu rekod dunia?

Hidangan kentang goreng atau kentang jejari yang turut digelar sebagai chips atau french fries ini diberi nama Crème de la Crème Pomme Frites.

Foto GuinnessWorldRecords.com
– Foto GuinnessWorldRecords.com

Ia merupakan hidangan istimewa yang boleh didapati di restoran berprestij popular Serendipty3 di Manhattan, New York.

Baca juga: Lokasi Penggambaran Paling Popular Dan Ikonik Di New York

Harganya yang mencecah AS$200 (kira-kira RM846) kini diiktiraf Guinness World Records sebagai hidangan kentang goreng yang termahal di dunia.

Ia dihasilkan hasil usaha sama dua orang chef Serendipty3 iaitu Chef Kreatif, Joe Calderone dan Chef Eksekutif Korporat, Fredrick Schoen-Kiewert.

Resipi dan bahan-bahan yang digunakan untuk menyediakan kentang goreng ini turut didedahkan kepada umum untuk dinilaikan sendiri apakah sebenarnya yang menyebabkan harganya mahal.

Foto GuinnessWorldRecords.com
– Foto GuinnessWorldRecords.com

Bahan-bahannya yang sudah tentu TIDAK HALAL dan agak mustahil untuk difahami apatah lagi diperolehi oleh rata-rata chef di Malaysia adalah seperti berikut:

Kentang jenis Upstate Chipperbeck, champagne Dom Perignon, cuka Ardenne Perancis J. LeBlanc, garam Guerande kulat truffle, minyak kulat truffle, kulat truffle hitam musim panas dari Itali yang diparut dan mentega kulat truffle.

Turut digunakan ialah keju Crete Senesi Pecorino Tartufello, lemak angsa bebas sangkar dari Perancis, susu krim organik gred A2 100% dari lembu Jersey Cows yang hanya diberi makan rumput, Gruyere Truffled Swiss Raclette yang berusia 3 bulan dan habuk emas 23k yang boleh dimakan.

Foto GuinnessWorldRecords.com
– Foto GuinnessWorldRecords.com

Hidangan kentang goreng ini turut disajikan di atas pinggan kristal Baccarat Arabesque yang dipadankan bersama dengan semangkuk sos Mornay untuk dijadikan sebagai pencicah.

Menurut garis panduan Guinness World Records, untuk mencipta rekod, hidangan kentang goreng tersebut perlu dijual kepada umum dan seorang pengunjung bebas perlu membelinya.

Foto GuinnessWorldRecords.com
– Foto GuinnessWorldRecords.com

Rekod akhirnya tercipta pada 13 Julai lalu apabila pintu Serendipity3 dibuka kembali selepas restoran tersebut ditutup hampir sepanjang tahun 2020 akibat pandemik COVID-19.

Khabarnya, untuk menikmati kentang goreng termahal tersebut, pengunjung kini perlu berada di dalam senarai tunggu di antara 8 hingga 10 minggu terlebih dahulu.

Sumber: GuinnessWorldRecords.com