Menggalakkan Orang Ramai Keluar Rumah, Niantic Dikecam Pemain ‘Pokémon Go’ Di Seluruh Dunia

Gara-gara tidak sensitif dengan situasi jangkitan COVID-19 yang semakin membimbangkan, Niantic, pembangun permainan Pokémon Go dikecam hebat.

Pokémon Go merupakan permainan percuma menggunakan telefon pintar yang menggalakkan pemainnya meneroka dan mengembara sehingga ke seluruh dunia untuk menangkap spesies-spesies Pokémon.

Menggunakan teknologi augmented reality (AR) dan berpandukan lokasi sebenar, pemain-pemain Pokémon Go boleh menangkap Pokémon yang muncul di skrin mereka.

Selain itu, pemain juga boleh mengumpul barangan di hentian PokéStop, meletakkan Pokémon mereka di ‘gim’ untuk ‘menakluk’ kawasan dan melatih Pokémon mereka untuk bertarung dengan pemain lain.

Foto PokemonGoLive.com
– Foto PokemonGoLive.com

Aktiviti-aktiviti tersebut memerlukan pemain untuk keluar dari rumah dan menjalankan aktiviti sosial yang melibatkan mereka untuk berjalan-jalan sambil bersenam atau bersiar-siar.

Baca juga: Taman Tema Pokemon Bakal Dibuka Di Jepun Tidak Lama Lagi

Khuatir dengan penyebaran virus COVID-19, Niantic pada mulanya mengambil inisiatif bijak dengan memperkenalkan beberapa bonus untuk pemain agar terus kekal berada di rumah tanpa perlu melawati lokasi fizikal.

Langkah ini yang mula diperkenalkan Mac tahun lalu telah memberikan kelonggaran buat pemain yang masih boleh bermain tanpa membahayakan nyawa dan menyebarkan virus COVID-19 kepada orang lain.

Ini termasuklah dengan memendekkan jarak untuk mengakses ‘gim’, membawa lebih banyak Pokémon ‘muncul’ di sekitar rumah, memberi hadiah dan barangan percuma dan pelbagai bonus lagi.

Niantic, anak syarikat Google yang melancarkan permainan mudah alih tersebut pada 2016, kini dikecam hebat pemain atas tindakan syarikat tersebut yang cuba untuk mengubah semula corak permainan Pokémon Go.

Beberapa langkah keselamatan yang dilaksanakan Niantic pada awal wabak tahun lalu, telah ditarik balik dan menyebabkan ramai pemain memberontak dan ingin memboikot permainan popular tersebut.

Foto Twitter
– Foto Twitter

Pada bulan Jun lalu, Niantic mengumumkan rancangan untuk melakukan perubahan tersebut yang akan bermula di New Zealand dan Amerika Syarikat.

Berita mengecewakan tersebut telah dikecam oleh pemain di platform media sosial terutamanya di Amerika Syarikat yang kini masih lagi bergelut dengan virus COVID-19 varian Delta.

Petisyen di Change.org juga telah memperolehi hampir 150,000 tandatangan dari pengguna yang meminta Niantic mengembalikan semula ‘keistimewaan’ tersebut.

Pernah memenangi banyak anugerah sebagai ‘Permainan Mudah Alih Terbaik 2016’ dan tersenarai sebagai di antara permainan paling laris di dunia, hasil kutipan Pokémon Go kini telah mencatat nilai lebih AS$6 bilion (RM25 bilion).

Di Malaysia, Niantic dan Pokémon Go turut pernah ‘diharamkan’ serta dikecam akibat beberapa kontroversi yang mengejutkan ramai pihak satu ketika dahulu.

Malaysian Employers Federation (MEF) pernah mendedahkan, 6 majikan atau 4% dari 150 syarikat dari pelbagai sektor, pernah memberhentikan pekerja mereka yang terlalu banyak bermain Pokémon Go ketika waktu kerja.

Sumber: The Guardian