Transformasi Rebel Wilson Susut 30kg Berat Badan, Ketahui Kaedah Diet Yang Digunakan

Ramai yang terkejut dengan transformasi Rebel Wilson yang hilang 30kg berat badan dan ingin mengetahui dengan lebih lanjut mengenai teknik diet yang digunakan.

Bagaimana Rebel Wilson berjaya menurunkan berat badan dengan begitu drastik dan kaedah diet apakah yang digunakan beliau?

Menurut majalah People, Rebel Wilson telah mengunjungi pusat kesihatan Austria yang diberi nama VivaMayr.

Di sinilah tempat beliau pertama kali memulakan perjalanan untuk hidup lebih sihat bermula dari tahun 2019 lagi.

Rebel kemudiannya menjadikan tahun 2020 sebagai “tahun untuk lebih sihat” dan menetapkan sasarannya untuk mencapai berat 75kg atau 165 pound.

Foto FreePressJournal.in
– Foto FreePressJournal.in

Pelakon filem trilogi Pitch Perfect ini membuktikan langkah permulaan yang perlahan dan dengan hanya mengambil satu langkah pada satu masa, matlamat penurunan berat badan masih boleh dicapai.

Beliau hanya keluar berjalan-jalan, sentiasa kekal hidrasi, menghindari gula dan makanan ringan serta menggabungkan senaman dan diet mengikut Kaedah Mayr.

Tidak berapa lama kemudiannya, beliau beralih pula kepada aktiviti mendaki, berenang dan aktiviti lasak yang lain di bawah bimbingan pelatih peribadinya Jono Castano selama tujuh hari seminggu.

Baca juga: 15 Tip Amalan Sihat Untuk Turun Berat Badan Tanpa Perlu Diet

Kaedah Mayr adalah teknik diet yang dicipta pada tahun 1920 oleh seorang doktor warga Austria iaitu Dr. Franz Xaver Mayr.

Walaupun kaedah ini telah dipraktikkan selama lebih 100 tahun, ia hanya menjadi popular baru-baru ini setelah orang ramai melihat penurunan berat badan Rebel Wilson.

Kaedah ini menekankan kesihatan usus yang sangat penting untuk penurunan berat badan dan kesihatan tubuh badan secara keseluruhan.

Ia memberi tumpuan utama kepada pengecualian makanan tertentu untuk meningkatkan pencernaan, serta menerapkan teknik makan yang betul seperti mengunyah makanan sepenuhnya dan mengelakkan gangguan semasa makan.

Kaedah Mayr juga lebih mengutamakan makanan beralkali yang dapat menghasilkan pH yang lebih tinggi selepas proses pencernaan makanan.

Teknik diet yang digunakan oleh Rebel Wilson ini juga mengesyorkan buah-buahan, sayur-sayuran, kekacang, bijirin serta protein daging, ikan dan ayam.

Gluten, gula, dan kafein pula harus dielakkan manakala produk tenusu dan pemanis semula jadi seperti madu dan sirap maple dalam jumlah yang besar adalah dilarang.

Sumber: TheHealthSite.com