Buat Sendiri ‘BTS Meal’ Siap Dengan Sos Cajun McDonald’s Dengan Resipi Mudah Ini

Dengan resipi BTS Meal ini, anda tidak lagi perlu bersesak-sesak di McDonald’s. Sekarang anda dah boleh buat sendiri dan makan puas-puas bersama keluarga di rumah.

Betul tu. Tak perlu risau lagi dengan pematuhan SOP di luar rumah ketika PKP. Resipi mudah ini bukan sahaja mengajar cara untuk membuat nuget BTS Meal, malah turut disertakan cara nak buat sendiri sos Cajun McDonald’s.

Seperti yang kita semua maklum, BTS Meal mengandungi set McDonald’s yang menjadi pilihan penyanyi berkumpulan lelaki Korea Selatan popular – BTS. Ia mengandungi 10 keping Chicken McNuggets, French Fries dan Coca-Cola bersaiz sederhana.

Baca juga: Gara-Gara ‘BTS Meal’, Sistem Penghantaran McDonald’s Lumpuh

Turut disertakan dalam BTS Meal McDonald’s ialah sos cili manis dan sos Cajun. Namun, resipi ini hanya akan menunjukkan cara-cara untuk membuat nuget dan sos Cajun sahaja. Cara untuk membuat sos cili manis tidak disertakan di sini.

Masa untuk menyediakannya adalah lebih kurang sejam manakala untuk memasak, hanya 20 minit diperlukan. Penyediaan hidangan ini sesuai untuk 4 orang.

Baca juga: Jom Buat Sendiri Sosej Ayam ‘Homemade’ Yang Pasti Lebih Sedap Dan Digemari Anak-Anak

Bahan-bahan untuk nuget

700g dada ayam

2 sudu kecil garam

1/2  sudu kecil lada hitam

2 sudu besar tepung jagung

1 sudu kecil serbuk bawang putih

Bahan-bahan untuk tepung menggoreng nuget

3/4 cawan tepung gandum

3/4 cawan tepung jagung

2 sudu kecil serbuk penaik

2 sudu kecil garam

1/2 sudu kecil lada hitam

1 sudu kecil serbuk paprika

1 sudu kecil serbuk cili

1 sudu kecil serbuk bawang putih

1/4 sudu kecil serbuk soda bikarbonat

1 1/2 cawan air sejuk

Bahan-bahan sos Cajun

1/2 cawan mustard Dijon (mustard Perancis)

1 sudu kecil serbuk Cajun

1/4 cawan madu

1 sudu besar cuka

3 sudu besar mayones

1/4 sudu kecil serbuk bawang putih

1/4 sudu kecil serbuk bawang

1 sudu kecil serbuk cili

Minyak sayuran untuk menggoreng

Baca juga: Resipi Rahsia Sos Keju Leleh Ala ‘Cheezy Wedges’ KFC

Cara menyediakan sos Cajun

Buat Sendiri Sos Cajun McDonald’s

1) Masukkan semua bahan tersebut ke dalam mangkuk dan gaul rata.

2) Tambahkan lagi bahan-bahan sekiranya perlu untuk menyesuaikannya mengikut citarasa anda.

Cara menyediakan nuget

Buat Sendiri Nuget McDonald’s

1) Potong dada ayam menjadi kepingan kecil dan kisarkan bersama garam, lada hitam, tepung jagung dan serbuk bawang putih.

2) Bentukkan adunan tersebut menyerupai nuget.

3) Simpan nuget tadi ke dalam peti sejuk selama 30 minit atau lebih lama jika perlu untuk mengekalkan bentuknya.

4) Sebelum menggoreng, sediakan 2 bekas besar untuk menyalut nuget tadi dengan 2 jenis bahan berbeza iaitu bahan kering dan bahan basah.

5) Untuk bahan kering, masukkan dan gaul sekali tepung gandum, tepung jagung, serbuk penaik, garam, lada hitam, serbuk paprika, serbuk cili dan serbuk bawang putih.

6) Untuk bahan basah pula, masukkan air dan serbuk soda bikarbonat ke dalam mangkuk dan gaul sehingga sebati. Pastikan ianya nipis atau tidak terlalu tebal.

7) Panaskan kuali dengan api sederhana.

8) Ambil nuget dan salutkan dengan bahan kering diikuti dengan bahan basah tadi.

9) Goreng sehingga warnanya menjadi kuning keemasan.

10) Angkat dan tapiskan lebihan minyak sebelum menghidangkannya bersama sos Cajun.

Wow! Dah siap pun. Mudah, kan? Jangan lupa cuba sendiri resipi BTS Meal McDonald’s ni, tau?

Amat sesuai dihidang panas-panas sambil layan lagu-lagu BTS.

Resipi BTS Meal McDonald’s

Sumber: Moribyan.com