Selepas 35 Tahun Tragedi Nuklear Paling Buruk Dalam Sejarah, Chernobyl Sedia Terima Kunjungan Pelancong Yang ‘Berani Mati’

Walaupun tragedi nuklear Chernobyl berlaku pada tahun 1986, namun ianya telah dibuka untuk menerima kunjungan pelancong sejak tahun 2011 lagi.

Apa yang menarik sangat sebenarnya bagi pelancong yang datang dari jauh semata-mata untuk melawat tapak tragedi nuklear Chernobyl ni? Tak takut bahaya radiasi ke?

Topeng keselamatan yang ditinggalkan Pripyat

Untuk mendapatkan sedikit gambaran mengenai apa yang sebenarnya berlaku, malapetaka nuklear terburuk di dunia tersebut telah dipersembahkan dalam bentuk mini siri terbitan HBO berjudul Chernobyl (2019).

Rancangan TV 5 episod tersebut berjaya menggondol 10 anugerah Emmy dan kini diberi penilaian status ‘Fresh’ dengan markah Tomatometer 96%.

Pripyat sedia terima pelancong

Selesai menonton siri tersebut, pasti ramai yang ‘seram sejuk’ dan memang tidak akan sesekali berani langsung untuk menjejakkan kaki di bumi Chernobyl. Jangan harap. Ada juga yang berdegil.

Walaupun dilarang pihak berkuasa, terdapat segelintir pelancong yang benar-benar ‘berani mati’ dan sanggup mengupah pemandu pelancong haram untuk membawa mereka masuk sehingga ke dalam bandar Pripyat, lokasi sebenar kejadian buruk tersebut berlaku.

Untuk itu, pelancong ini sanggup berjalan kaki sekitar 40km dan bermalam di kampung-kampung ‘berhantu’ yang terbengkalai di sepanjang Zon Larangan Chernobyl.

Pasti golongan pelancong ini merupakan penggemar filem-filem popcorn Hollywood seperti Universal Soldier: Regeneration (2010), Chernobyl Diaries (2012) dan A Good Day to Die Hard (2013) yang berlatarbelakang lokasi Chernobyl.

3 Kawasan terbiar di Chernobyl

Ataupun mereka ini dah terlalu kerap bermain permainan video seperti S.T.A.L.K.E.R: Shadow of Chernobyl, Metro 2033 dan Call of Duty 4: Modern Warfare yang banyak menerokai dunia interaktif yang diinspirasikan dari Chernobyl, kan?

Apakah sebenarnya yang berlaku di Loji Tenaga Nuklear Chernobyl, bandar Pripyat yang terletak lebih kurang 100km dari ibu kota Ukraine, Kiev pada malam 25 April 1986?

Semasa ujian rutin keselamatan tengah malam di reaktor nuklear nombor 4 di Loji Tenaga Nuklear Chernobyl, krew loji yang bertugas telah mematikan sistem keselamatan untuk menguji sistem turbin.

Reaktor nuklear tersebut kemudiannya menjadi terlalu panas dan menghasilkan letupan kuat yang membebaskan sejumlah besar bahan radioaktif ke atmosfera bumi sejauh 2km.

Suasana di Pripyat

Dianggarkan, bahan radioaktif yang dilepaskan ke udara Chernobyl pada malam tersebut adalah 400 kali ganda lebih banyak daripada kejadian letupan bom atom di Hiroshima.

134 anggota tentera kemudiannya dimasukkan ke hospital dengan penyakit radiasi akut. 28 lagi anggota bomba dan pekerja meninggal dunia selang beberapa minggu kemudiannya. Penduduk sekitar termasuk wanita dan bayi juga jatuh sakit akibat kesan radiasi teruk.

5 Zon Larangan

Lebih 100,000 orang diarahkan berpindah dan kawasan sekitar reaktor tersebut dengan radius keluasannya dianggar lebih kurang 30km telah ditutup oleh pihak berkuasa dan digelar sebagai Zon Larangan sehingga ke hari ini.

Adakah Chernobyl kini dibuka untuk pelancong?

Ya. Sejak tahun 2011 lagi pihak berkuasa menganggap Chernobyl selamat untuk dikunjungi dan dikenali sebagai lokasi tarikan kebudayaan dengan syarat-syarat keselamatan tambahan. Masalahnya ialah, ramai pelancong tidak mematuhi arahan dan ‘berani mati’ mengunjungi kawasan larangan.

Adakah Chernobyl selamat dikunjungi?

Ya. Pelancong dikehendaki menggunakan khidmat pemandu pelancong yang sah dan terlatih. Jumlah radiasi yang bakal dihadapi adalah sama dengan radiasi yang diterima dari sebuah penerbangan jarak jauh.

Ancaman bahaya yang utama bukanlah dari radiasi, tetapi struktur bangunan yang tidak selamat dan telah ditinggalkan selama lebih 30 tahun. Pelancong juga digesa agar selalu bergerak mengikut kumpulan dan sentiasa mematuhi arahan.

Akibat tragedi loji nuklear

Alat pengukur Geiger perlu dibawa bersama untuk memeriksa tahap radiasi. Walau bagaimanapun, adalah merbahaya untuk berada di sesuatu kawasan untuk jangka masa yang lama.

Apakah yang menarik di Chernobyl?

Pelancong disaran untuk memperuntukkan hanya 2 hari 1 malam untuk lawatan. Perjalanan dari Kiev, ibukota Ukraine mengambil masa lebih kurang 2 jam. Pelancong boleh bermalam di sebuah hotel kecil di Chernobyl dan mengunjungi Muzium Chernobyl Kiev.

Perintah berkurung juga dikenakan oleh pihak berkuasa di sesetengah kawasan sekiranya pelancong ingin bermalam. Ini disebabkan masih terdapat kawasan-kawasan yang amat merbahaya untuk dikunjungi kerana tahap radiasinya yang tinggi.

Pengalaman mengunjungi Chernobyl bukan sahaja berupaya menyentuh emosi, tetapi sesuai untuk memahami situasi sebenar dan risiko pengendalian loji nuklear. Sebuah bangunan setinggi 15 tingkat amat sesuai untuk jurufoto mengambil gambar-gambar pemandangan indah sekitar Chernobyl.

Roda Ferris Chernobyl

Terdapat juga sebuah roda Ferris yang menjadi lambang ikonik Chernobyl. Ianya tidak sempat digunakan kerana dijadualkan untuk dibuka kepada orang ramai hanya beberapa hari sahaja selepas letupan berlaku.

Oleh kerana Zon Larangan tidak dijejaki oleh manusia selama lebih dari 30 tahun, spesies hidupan liar di sini sering berkeliaran bebas. Pengunjung yang bertuah berpeluang untuk melihat spesies rubah jinak, kuda liar, bison, beruang, serigala dan ikan keli raksasa.

Hanya mereka yang benar-benar berani dan tidak gentar dengan radiasi serta kanser sesuai menjejakkan kaki di Chernobyl. Tidak kiralah pelancong yang mengunjunginya melalui jalan sah atau masuk secara haram, sudah 35 tahun berlalu, tragedi nuklear di Chernobyl tetap menginsafkan.

Sumber: Independent