Resipi Rahsia Sos Keju Leleh Ala ‘Cheezy Wedges’ KFC

Pelbagai resipi telah dicuba oleh penggemar keju untuk mendapatkan rasa sebenar sos keju leleh yang digunakan oleh KFC dalam hidangan ‘Cheezy Wedges’.

Terdapat banyak juga produk keju yang berada di pasaran yang mendakwa rasa produk mereka seakan-akan sama dengan rasa hidangan popular KFC tersebut.

Bermacam-macam produk baru berasaskan keju lahir di pasaran dalam bentuk peket, botol dan serbuk yang hanya perlu ditambah air panas untuk mendapatkan rasa keju leleh kegemaran ramai itu.

Peniaga-peniaga gerai burger, roti John, keropok lekor, goreng pisang, murtabak dan takoyaki semuanya turut menggunakan tarikan sos keju yang disebut-sebut sebagai ‘meletop’ dan ‘viral’ ini.

Menurut pencipta resipi ini, sos keju yang dihasilkannya rasa ‘sebiji’ dengan KFC. Oklah, bukan 100%. Tapi, beliau mendakwa rasanya 90% sama dengan sos keju KFC!

Tak percaya? Jom cuba sendiri di rumah resipi rahsia sos keju leleh ala ‘Cheezy Wedges’ KFC ni.

Bahan-bahan

Bahan-bahan untuk membuat keju leleh
Bahan-bahan untuk membuat sos keju

Berikut merupakan bahan-bahan untuk membuat dalam anggaran 1kg sos keju:

1) Keju – 3 keping (tidak kira apa-apa jenama pun, yang penting HALAL)

2) Mentega – 70 gram

3) Kiub ayam – 2 ketul

4) Serbuk lada sulah – 1 sudu kecil

5) Serbuk lada hitam – 1 sudu kecil

6) Gula – 1 sudu besar

7) Garam – secukup rasa

8) Susu penuh krim – 1 cawan

9) Tepung gandum* – 2 sudu (untuk dibancuh dengan air suam bagi mendapatkan anggaran bancuhan sebanyak setengah cawan) *boleh ditukar dengan tepung gandum berperisa untuk rasa lebih pedas

10) Minyak masak* – 3 sudu besar (untuk dikisar bersama sos keju) *boleh ditukar dengan minyak zaitun untuk lebih sihat

11) Lemon – setengah biji (untuk mengelakkan rasa muak sos keju)

12) Sedikit pewarna makanan berwarna kuning

Cara-cara

Proses memasak keju leleh
Proses memasak sos keju

1) Cairkan mentega bersama susu di dalam kuali yang panas.

2) Masukkan kepingan keju, kiub ayam, serbuk lada sulah, serbuk lada hitam, gula, garam, bancuhan air tepung dan perahan lemon.

3) Sentiasa kacau untuk mengelakkan di bawahnya hangit. Bila sudah likat dan tidak berketul-ketul, bolehlah dipadamkan api.

4) Sebelum dibiarkan sejuk, pastikan garam dan gula sudah mengikut citarasa secukupnya.

5) Setelah sejuk, masukkan sedikit pewarna jika perlu dan kisarkan bersama minyak masak supaya teksturnya menjadi lebih halus.

6) Simpan di dalam peti sejuk dan hidangkan pada bila-bila masa ketika perlu.

Lepas ni, tak payah pergi ke restoran makanan segera tu dah. Mereka yang berniaga pun, boleh cuba buat sendiri resipi sos keju leleh ala KFC ni untuk lebih menjimatkan kos.

Cubalah!

Keju leleh yang siap dihidang
Sos keju leleh yang siap dihidang

Sumber: Facebook Nor Seri Azlina Bustani