Legenda ‘Marvel’ Stan Lee Kini Mempunyai Sebatang Jalan Di New York Dinamakan Sempena Nama Beliau

Bagaikan telah diduga, akhirnya Stan Lee mendapat pengiktirafan yang sangat besar di bandaraya tempat beliau dibesarkan, New York.

Legenda yang bertanggungjawab membawa nama Marvel ke persada dunia ini sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi.

Sepanjang hayat beliau, Stan Lee yang dibesarkan di New York banyak menyumbangkan jasa dalam bidang penulisan komik Marvel.

Beliau juga bertanggungjawab mencipta bersama watak-watak popular Marvel seperti Spider-Man, Iron Man, X-Men dan banyak lagi.

Baca juga: Walaupun Pandemik COVID-19 Belum Berakhir, ‘Avengers Campus’ Tetap Akan Dibuka Pada 4 Jun Ini

Bagi memastikan warisannya terus dihargai oleh generasi akan datang, warga New York telah mengambil inisiatif bagi memastikan pengorbanan penulis dan aktivis tersohor ini diabadikan selama-lamanya di atas sebatang jalan.

Seperti yang dilaporkan oleh Bronx News 12, sebuah jalan di The Bronx berhampiran tempat Lee dibesarkan, kini secara rasmi telah diberikan nama “Stan Lee Way.”

Jalan di The Bronx berhampiran tempat Stan Lee dibesarkan kini digelar Stan Lee Way

Nama jalan ini secara rasminya dilancarkan pada hujung minggu lalu oleh Ahli Majlis Bandaraya New York, Fernando Cabrera.

Peminat-peminat tegar Marvel yang ingin mengunjungi lokasi jalan ini boleh berbuat demikian di University Avenue, antara Brandt Place dan Jalan West 176th, di The Bronx, New York.

Baca juga: Lokasi Penggambaran Paling Popular Dan Ikonik Di New York

Stan Lee sebenarnya dilahirkan di Manhattan, tetapi keluarganya berpindah ke 1720, University Avenue di The Bronx ketika beliau masih remaja.

Beliau mendapat pendidikan di DeWitt Clinton High School di kawasan yang sama. Ketika upacara perasmian “Stan Lee Way”, beberapa orang pelajar dari sekolah ini turut sama hadir.

Salah seorang dari mereka ketika ditemubual mengenai legasi Stan Lee oleh Bronx News 12 berkata, “Anda akan menemui banyak potret beliau jika anda berkunjung ke Clinton. Beliau memberikan inspirasi dan harapan bahawa apa saja tidak mustahil dan boleh dicapai oleh warga The Bronx.”

Sebatang Jalan Di New York Dinamakan Sempena Nama Stan Lee

Stan Lee meninggal dunia pada 12 November 2018, beberapa minggu sebelum menyambut ulang tahunnya yang ke-96.

Meskipun Stan Lee menghabiskan tahun-tahun terakhirnya di Los Angeles, “Stan Lee Way” merupakan satu peringatan indah dari tempal asal penulis tersebut.

Spider-Man, watak adiwira ciptaan beliau telah selamanya menjadi sinonim dengan kota Big Apple tersebut. Kini, nama Stan Lee juga turut kekal abadi di New York.

Tonton video di bawah: Stan Lee dan penampilan istimewanya dalam semua filem MCU (2008-2019).

Sumber: GAMINGbible