Ini Apa Yang Perlu Anda Tahu Sebelum Merancang Untuk Bercuti Ke Langkawi

Selepas kerajaan mengumumkan pembukaan semula sektor pelancongan, ramai yang telah merancang untuk bercuti bersama keluarga ke Langkawi.

Ini terbukti apabila bilik-bilik hotel laris ditempah dan tiket-tiket penerbangan juga habis terjual sehingga beratus-ratus ribu!

Baca juga:  AirAsia Berjaya Jual Hampir 200,000 Tiket Penerbangan Sempena Pembukaan Semula Langkawi

Pulau Langkawi dipilih sebagai projek rintis gelembung pelancongan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) dan mulai 16 September 2021, orang ramai sudah boleh mula mengunjunginya.

Foto MOTAC
– Foto MOTAC

Tiada had minimum atau maksimum sekiranya anda merancang untuk bercuti ke Langkawi. Ya, betul! Nak balik pada hari yang sama pun boleh, nak bercuti sepuas-puasnya sampai sebulan pun boleh.

Tapi, sebelum tu, pastikan anda tahu langkah-langkah yang disusun oleh kerajaan serta prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Baca juga: 7 Aktiviti Utama Pelancongan Yang Dibenarkan Di Langkawi Mulai 16 September Ini

Foto MOTAC
– Foto MOTAC

Untuk merancang bercuti ke Langkawi, mula-mula sekali, pastikan anda dari golongan berikut:

1) Warganegara Malaysia.

2) Telah lengkap divaksin (anak-anak di bawah umur 17 tahun boleh ditemani ibu bapa/penjaga masing-masing yang telah lengkap divaksin).

3) Bukan warganegara Malaysia yang terdiri daripada Ekspatriat, Peserta Program Malaysia My Second Home (MM2H), pelajar antarabangsa di Malaysia, klien Malaysia Healthcare Travel Council (MHTC) termasuk keluarga mereka dan individu berstatus Permanent Residents (PR) turut dibenarkan.

Foto MOTAC
– Foto MOTAC

Walaubagaimanapun, kontak rapat dengan kes positif, orang perseorangan yang dikenakan Home Surveillance Order (HSO) dan kuarantin wajib atau baru kembali dari luar negara serta bergejala adalah tidak dibenarkan).

Selain itu, anda juga diwajibkan untuk melakukan ujian saringan COVID-19 (RT-PCR atau RTK-Antigen) di mana-mana fasiliti kesihatan dan makmal swasta dalam tempoh 48 jam sebelum tarikh berlepas.

Kos ujian saringan perlu ditanggung sendiri dan anda perlu membawa kit ujian tersebut ke lapangan terbang atau terminal feri atau membelinya ketika tiba di sana nanti.

Ujian yang dijalankan di lapangan terbang atau terminal feri juga perlu dipantau dan disahkan oleh anggota kesihatan yang bertugas dan anda dinasihatkan tiba 3 jam sebelum waktu berlepas.

Anak-anak yang berusia 7 hingga 17 tahun turut diwajibkan disaring manakala bagi yang berumur 6 tahun dan ke bawah, hanya ujian pengesanan gejala perlu dilakukan.

Foto MOTAC
– Foto MOTAC

Langkah seterusnya ialah anda diwajibkan untuk mendapatkan permit kebenaran merentas negeri dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) terutama sekali jika anda menggunakan jalan darat.

Mereka yang menggunakan jalan darat juga perlu menggunakan khidmat Agensi Pelancongan Berlesen sekurang-kurangnya dari tempat bermula ke jeti dan ketika pulang dari jeti ke destinasi permulaan.

Walau bagaimanapun, pelancong yang menggunakan jalan udara hanya perlu mengemukakan tiket penerbangan apabila diminta oleh PDRM di sekatan jalan raya (SJR) dan tidak perlu memohon permit walaupun untuk merentas negeri ke lapangan terbang.

Pelancong dari Kedah dan Perlis yang menggunakan jalan darat pula boleh menggunakan kenderaan persendirian dan masuk ke Langkawi dengan menggunakan feri tanpa perlu menggunakan khidmat Agensi Pelancongan namun masih perlu mendapatkan surat kebenaran PDRM.

Bagi merancang percutian dengan lebih teratur, anda juga boleh rujuk Senarai Semak di bawah ini:

1) Sijil Digital Vaksinasi dalam MySejahtera atau kad pengesahan pengambilan vaksinasi.

2) Dokumen pengenalan diri.

3) Surat kebenaran PDRM dari daerah/negeri asal kecuali bagi yang menggunakan pengangkutan udara.

4) Maklumat agensi pelancongan dan itenari pakej yang dilanggan daripada syarikat pelancongan berlesen.

5) Bukti-bukti tempahan dan pembelian seperti resit pembayaran penginapan/tiket pengangkutan/sewaan kenderaan/tiket masuk pusat tarikan pelancongan/maklumat agensi pelancongan (jika melanggan) dan sebagainya.

6) Dokumen-dokumen lain yang berkaitan dengan tujuan pelancongan ke Pulau Langkawi sekiranya diminta ditunjukkan oleh pihak berkuasa sepanjang perjalanan dan semasa berada di Pulau Langkawi.

Selamat bercuti!

Sumber: Portal Rasmi MOTAC