7 Aktiviti Utama Pelancongan Yang Dibenarkan Di Langkawi Mulai 16 September Ini

Pulau Langkawi bakal dibuka semula kepada pelancong tempatan bermula 16 September 2021 dan beberapa aktiviti utama pelancongan turut dibenarkan beroperasi.

Sebelum ini, YAB Perdana Menteri telah membuat pengumuman berkaitan pembukaan semula sektor pelancongan di beberapa destinasi terpilih dan Langkawi dipilih sebagai projek rintis.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menyambut baik pengumuman tersebut yang dibuat di bawah program travel bubble atau gelembung pelancongan untuk Keluarga Malaysia.

YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya berkata, MOTAC telah menyediakan Prosedur Operasi Standard (SOP) khusus bagi tujuan tersebut dan ianya kini sedang diteliti oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Aspek pematuhan SOP perlu sentiasa dititikberatkan bagi mengelakkan Langkawi menjadi seperti Phuket di Thailand dan Bali di Indonesia yang terlebih dahulu dibuka namun terpaksa ditutup kembali susulan penularan COVID-19.

Baca juga: Bosan Destinasi Yang Sama Sahaja? Ini 6 Tarikan ‘Underrated’ Di Pulau Langkawi

Pembukaan semula sektor pelancongan Langkawi ini juga akan membenarkan beberapa aktiviti utama yang sentiasa menjadi tarikan pengunjung.

Setakat ini, 7 aktiviti utama telah dibenarkan dan selebihnya bakal diumumkan secara lebih terperinci tertakluk kepada perubahan semasa.

Aktiviti-aktiviti tersebut ialah:

1) Penginapan di hotel dan homestay termasuk semua fasiliti dalam premis hotel dan homestay, Business Events (MICE) serta acara-acara pelancongan dan kebudayaan;

2) Produk tarikan utama pelancong seperti aktiviti pantai, sukan air, snorkeling, selam skuba, memancing, pusat edutainment, taman rekreasi, extreme/adventure/nature parks, farms, akuarium, zoo dan lain-lain kegiatan riadah, rekreasi serta sosial;

3) Aktiviti Pelancongan Minat Khas (golfing, scuba diving, cycling, angling, yachting dan sebagainya);

4) Aktiviti Eko Geo-Kembara (bird watching, caving, mountain climbing, white-water rafting, hiking, jungle trekking, camping dan sebagainya);

5) Premis hasil seni, budaya dan warisan seperti muzium, perpustakaan, galeri seni, pusat/kampung seni warisan budaya, pementasan persembahan budaya dan lain- lain;

6) Taman Tema dan Pusat Hiburan Keluarga; dan

7) Lawatan bersifat akademik seperti Geopark Discovery Center, Balai Seni dan Laman Padi.

Infografik Bernama
– Infografik Bernama

Sementara itu, beberapa agensi pelancongan dan syarikat penerbangan kini dilihat sedang rancak dengan pelbagai tawaran istimewa dalam usaha mempromosikan aktiviti utama pelancongan yang dibenarkan di Langkawi tersebut.

Syarikat penerbangan Malindo Air misalnya telah mengumumkan enam penerbangan setiap hari ke Langkawi akan ditawarkan bermula 16 September ini.

Malaysia Airlines pula menawarkan tiket penerbangan dari harga serendah RM89, manakala MHholidays menawarkan pakej pelancongan dengan potongan sehingga 50 peratus.

Sumber: TheStar.com.my