Netizen Luah Rasa Kecewa Selepas Medan Selera Suria KLCC Terpaksa Ditutup

Medan selera RASA Food Arena yang terletak di kompleks membeli-belah Suria KLCC telah membuat satu pengumuman yang amat mengejutkan tempoh hari.

Medan selera yang amat popular tersebut mengambil keputusan untuk melabuhkan tirai buat selama-lamanya bermula 1 September 2021.

Foto Instagram @rasafoodarena.suriaklcc
– Foto Instagram @rasafoodarena.suriaklcc

Operasi medan selera RASA Food Arena terpaksa dihentikan jua selepas bertahan sekian lama selama 22 tahun di tingkat empat bangunan ikonik Suria KLCC tersebut.

Langkah drastik yang dibuat oleh pihak pengurusan medan selera tersebut dipercayai kesan daripada penurunan jualan akibat jumlah kunjungan orang ramai yang merudum ketika pandemik COVID-19.

Berita ini amat menyedihkan warga kota lebih-lebih lagi ketika Malaysia kini sedang dalam peralihan dari situasi pandemik kepada endamik yang dijangka begitu hampir dapat dicapai penghujung Oktober ini.

Lokasi medan selera tersebut dipercayai sering menjadi tumpuan mereka yang tinggal di sekitar Kuala Lumpur sejak tahun 1999 lagi iaitu ketika kompleks membeli-belah Suria KLCC baru mula dibuka.

Platform media sosial menjadi tumpuan warga kota yang terus melahirkan rasa tidak percaya dengan berita penutupan itu selain berkongsi kenangan indah masing-masing ketika menjamu selera di premis tersebut.

Foto Instagram @Rizal Hakimm Punyer
– Foto Instagram @Rizal Hakimm Punyer

“Siapa tau gerai Noodles (sebelah kedai nasi padang) tu dah pindah ke mana? Saya sanggup gi carik kalau sapa tau. Dah tutup masa pkp lepas. Sedih ooo, rindu giler kat mihun kari dia!,” ujar Faridah Mohd. Yasin.

“Anyone tahu aunty kedai korean food tu pindah mana tolong bgtahuuuuu,” tambah Amira Syafinie.

“ Alaaaa… Nasi Ayam dekat Rasa Food Arena tu sedap gila wey! Lepas tu desserts, makan waffles with ice cream. Weyhh.. rinduuuuu laaa,” luahan hati Hally Hallie.

Baca juga: Lebih 45 Buah Restoran Nando’s Di UK Terpaksa Ditutup Akibat COVID-19

Pengumuman rasmi RASA Food Arena mengenai berita penutupan tersebut dibuat menerusi akaun Instagram milik pihak pengurusannya.

Foto Instagram @rasafoodarena.suriaklcc
– Foto Instagram @rasafoodarena.suriaklcc

Tinjauan orang ramai mendapati satu makluman bercetak turut diletakkan di pintu masuk medan selera berkenaan.

“Terima kasih! Dukacita dimaklumkan bahawa RASA Food Arena, Suria KLCC ditutup secara kekal bermula 1 September 2021.

“Terima kasih di atas sokongan anda sejak lebih 22 tahun yang lalu. Kami berbesar hati menyediakan perkhidmatan terbaik untuk anda,” demikian menurut makluman tersebut.

Walau bagaimanapun, satu lagi medan selera yang terletak di Suria KLCC iaitu Signatures Food Court masih lagi beroperasi seperti biasa.

Tidak dinyatakan juga sama ada RASA Food Arena mungkin akan kembali lagi di bawah pengurusan baru satu hari nanti.

Sumber: KL Foodie