Sering Mengakibatkan Pengunjung Tercedera Dan Patah Tulang, Operasi Roller Coaster Ini Terpaksa Dihentikan

Demi keselamatan orang ramai dan bagi mengelakkan lebih ramai yang menjadi mangsa, operasi permainan roller coaster di sebuah taman tema di Jepun terpaksa dihentikan.

Operasi roller coaster yang terletak berhampiran Gunung Fuji tersebut terpaksa dihentikan serta-merta setelah terdapat beberapa kejadian yang mengakibatkan penunggangnya tercedera dilaporkan.

Di antara Disember tahun lalu sehingga 12 Ogos baru-baru ini, empat orang penunggangnya dilaporkan telah mengalami patah tulang.

Roller coaster yang diberi nama Do-Dodonpa tersebut terletak di taman tema Fuji-Q Highland dan sering menjadi tumpuan ramai pengunjung.

Foto Hiroshi Kawai
– Foto Hiroshi Kawai

Pihak pengurusan taman tema Fuji-Q Highland turut dikecam kerana hanya melaporkan insiden kecederaan yang berlaku sejak tahun lalu kepada pihak polis daerah.

Hanya selepas kejadian terakhir yang berlaku pada 12 Ogos yang lalu, barulah pihak pengurusannya membuat laporan kepada pihak berkuasa Yamanashi pada 17 Ogos.

Ini menimbulkan kemarahan Gabenor Yamanashi iaitu Kotaro Nagasaki yang menuduh pihak pengurusan Fuji-Q Highland sebagai tidak bertanggungjawab.

“Saya rasa, jika mereka melaporkannya lebih awal dan mengambil tindakan sewajarnya, kemalangan susulan masih dapat dielakkan,” kata Nagasaki pada sidang akhbar yang berlangsung 20 Ogos yang lalu.

Baca juga: Taman Tema Pokemon Bakal Dibuka Di Jepun Tidak Lama Lagi

Menurut pihak pengurusan Fuji-Q Highland, roller coaster Do-Dodonpa dibuka pada tahun 2017 bagi menggantikan permainan roller coaster yang terdapat sebelumnya.

Kebanyakan roller coaster naik ke posisi tinggi secara perlahan dan kemudiannya turun memecut dengan laju sambil dibantu oleh daya tarikan graviti.

Manakala Do-Dodonpa yang digelar sebagai yang “terpantas di dunia” ini digerakkan secara mekanikal untuk mencapai kelajuan 180km sejam hanya selepas 1.56 saat sahaja perjalanan dimulakan!

Kemalangan pertama melibatkan seorang wanita berusia 30-an yang mengalami kesakitan setelah pulang dari taman tema tersebut pada bulan Disember 2020.

Hasil pemeriksaan doktor mendapati terdapat tulang di bahagian leher dan dadanya yang patah dan memerlukan masa dua bulan untuk sembuh.

Pada bulan Mei 2021, seorang lelaki berusia 40-an mengalami patah tulang di bahagian belakangnya dan memerlukan satu bulan untuk pulih.

Pada bulan Julai pula, seorang wanita berusia 50-an mengalami patah tulang di bahagian leher dan belakang.

Selama lapan bulan sejak kecederaan pertama dilaporkan, jumlah penunggang Do-Dodonpa tanpa diduga meningkat sehingga mencecah angka seramai 210 ribu orang.

Hanya selepas kejadian keempat pada 12 Ogos, yang melibatkan seorang lelaki berusia 30-an yang mengalami patah tulang di lehernya, operasi roller coaster tersebut dihentikan untuk siasatan.

Sumber: The Asahi Shimbun