Resipi Bihun Goreng Dengan ‘12 Sudu Gula’ Yang Kini Tular Kerana Terlalu Sedap

Rahsia ‘orang dulu-dulu’ buat bihun goreng yang sedap ialah dengan menambah perisa tambahan iaitu 12 sudu teh gula!

Menurut Mohd Shukur yang bermurah hati untuk berkongsi resipi bihun goreng ini, selain dari ramuan asas, arwah neneknya turut memasukkan sebanyak 12 sudu teh gula.

Ramai netizen yang telah mencuba resipi ini menganggapnya sebagai memang sedap walaupun ianya serba ringkas dan amat mudah untuk disediakan.

Baca juga: Resipi Rahsia Mi ‘Bodoh’ Pak Hassan

Resipi ini seterusnya menjadi tular kerana menjadi buah mulut orang ramai. Ikuti di antara komen-komen yang memuji resipi ini:

“Dah try… Memang secukup rasa sedap… Dua kali tambah saya makan.” – Kasumawati Binti Kasim.

“Terjebak gak…hb cakap mcm bihun zaman sekolah….sedap…” – Ros Maria Rusli.

“Baru try masak..sedap2.. xde rasa pun manis gula tu. Balance je rasa dia. Tq encik atas resepi nya…” – Nor Azila Mohd Sidek.

Foto Facebook
– Foto Facebook

Jom cuba sendiri resipi Bihun Goreng Udang Kering (dengan 12 sudu gula) yang menjadi viral ini.

Bahan-bahannya ialah:

1) Satu peket bihun (direndam seperti biasa).

2) Satu peket kecil udang kering.

3) 3 biji bawang ros*.

4) 2 ulas bawang putih*.

5) 4 biji cili kering*.

6) Sedikit belacan bakar*.

7) Sedikit asam jawa (lebih kurang sebesar duit 20 sen)*.

8) ½ sudu teh serbuk kunyit*.

9) 2 sudu teh serbuk perisa makanan MSG (monosodium glutamat atau Ajinomoto).

10) ½ sudu teh garam (dimasukkan sebanyak 7 kali).

11) 12 sudu teh gula.

Cara menyediakannya ialah:

1) Mula-mula, bakar terlebih dahulu belacan.

2) Kisar belacan tersebut sehingga lumat dengan bahan-bahan yang bertanda “*” di atas (pastikan air tidak dimasukkan terlalu banyak).

3) Goreng udang kering sehingga agak masak dan masukkan bahan yang telah dikisar tersebut untuk ditumis sehingga naik bau.

4) Masukkan perisa makanan, garam serta gula dan tumiskan sekali lagi sehingga pecah minyak.

5) Masukkan bihun dan gaul rata. Pastikan api perlahan supaya bihun lembut sendiri dan tidak mudah hancur. Hanya masukkan sedikit air ketika menggoreng jika perlu.

6) Asap akan kelihatan di atas permukaan bihun yang digoreng menandakan ianya sudah elok dimasak.

Terima kasih Mohd Shukur atas perkongsian. Semoga pahalanya turut kembali mengalir kepada arwah nenek beliau. Al-Fatihah.

Sumber: MATJHN OFFICIAL