Resipi Rahsia Mi ‘Bodoh’ Pak Hassan

Sudah lebih 20 tahun beroperasi, namun sehingga kini, belum pernah ada yang berjaya membongkar resipi rahsia mi ‘bodoh’ Pak Hassan yang terletak di Jalan Tengkera, Melaka.

Entah di mana ajaibnya, orang ramai sanggup beratur panjang mulai pukul 8 pagi setiap hari, semata-mata untuk merasai nikmat mi goreng kosong yang digoreng bersama taugeh ini.

Pelanggan pula hanya dibekalkan dengan botol kicap dan cuka untuk dimakan bersama mi ‘bodoh’ yang berharga RM2 ini.

Tiada pilihan lain untuk dijadikan hidangan sampingan kecuali telur goreng, sambal dan timun.

Tidak diketahui juga siapalah yang kejam sangat memberi gelaran mi goreng ini sebagai ‘bodoh’. Namun, nama Pak Hassan terus ‘viral’ dan menjadi ‘legend’ di sekitar Melaka.

Ikuti percubaan untuk menguraikan resipi rahsia mi ‘bodoh’ Pak Hassan berikut yang diperolehi dari Facebook:

Bahan-bahan

1) 20 tangkai cili kering

2) 5 biji bawang merah

3) 1 ulas bawang putih

(Ketiga-tiga bahan di atas perlu dikisar bersama)

4) Garam

5) Perencah Ajinomoto

6) Asam pes/asam jawa/asam keping (terpulang kepada anda)

7) Minyak masak

8) Mi kuning

9) Taugeh

10) Telur

11) Timun

Baca juga: Resipi Mi Goreng Mamak Terbaik, Ramai Yang Dah Cuba Kata Sedap

Telur ‘goyang’ bersama timun dan sambal

Cara-cara memasak sambal

1) Panaskan minyak di dalam kuali. Minyak yang digunakan perlulah banyak untuk menumis.

2) Masukkan ketiga-tiga bahan yang dikisar tadi ke dalam minyak yang betul-betul panas.

3) Tumis adunan cili tersebut beberapa minit sehingga garing dan menjadi sambal.

4) Masukkan garam dan perencah Ajinomoto secukup rasa.

5) Masukkan pula sedikit asam pes, asam jawa atau asam keping untuk menjadikan rasa sambal ini ‘masam-masam pedas’.

6) Gaul rata dan goreng untuk seketika lagi.

7) Selepas berpuas hati dengan rasanya, angkat dan asingkan sedikit sambal ke dalam pinggan.

Cara-cara menggoreng mi

1) Dengan menggunakan sambal yang masih berada di dalam kuali tadi, goreng pula mi kuning di dalamnya.

2) Gaul rata dan goreng untuk beberapa minit.

3) Sekiranya mi tadi sudah hampir masak, masukkan pula taugeh dan gorengkannya sekali.

4) Jangan terlalu lama menggoreng dan api juga sebenarnya sudah boleh ditutup bagi mengelakkan taugeh tadi menjadi lembik dan layu.

(Maaf pembenci taugeh. Sayur lain juga masih boleh digunakan. Sebenarnya, tauhu, udang, sotong dan ayam pun boleh dimasukkan sekali. Cuma, identiti mi ini juga akan turut hilang dan menjadi kurang ‘bodoh’).

Baca juga: Resipi Kuetiau Goreng ‘Chinese Style’ Paling Menjadi

2 Sesuai dihidang bersama kicap dan cuka

Cara-cara menggoreng telur ‘goyang’

1) Gunakan minyak yang sama dengan minyak yang digunakan untuk memasak sambal di dalam kuali tadi (minyak ini boleh diasingkan terlebih dahulu sekiranya perlu).

2) Goreng telur dan pastikan ianya ‘bergoyang’.

3) Angkat telur tadi dan hidangkannya bersama hirisan timun.

4) Letakkan sedikit sambal bersama ‘telur goyang’ tadi untuk lebih kesan dramatik.

Mi ‘bodoh’ Pak Hassan, siap!

Sumber: Kakak Leen, Kredit: MAHN/CA