Pertama Kali Mencuba ‘Taco Bell’, Ini Reaksi Salma Hayek

Pengalaman pertama Salma Hayek bersama Taco Bell tidak seperti yang diharapkan.

Dalam wawancara terbaru Salma Hayek bersama Kelly Clarkson, pelakon itu berkongsi kisah mengenai pengalamannya mencuba Taco Bell buat kali pertama.

Peristiwa tersebut berlaku ketika Salma Hayek masih lagi di usia remaja dan ianya agak mengecewakan tetapi agak melucukan kerana taco buatan Amerika sedikit berbeza daripada yang dia selalu makan di Mexico.

Hayek, 54, dilahirkan dan dibesarkan di Coatzacoalcos, Mexico, tetapi menghabiskan sebahagian besar usia remajanya bersama ibu saudaranya di Houston, Texas.

Baca juga: Rasa Ingin Travel Ke Mexico Bila Menonton Penerangan Ini

Menurut Hayek, dia memang gemar makan taco dan memutuskan pada satu hari untuk mengunjungi cawangan Taco Bell berhampiran.

Tetapi, ketika dia mula hendak makan, dia terkejut besar kerana taco yang dipegangnya kelihatan agak ‘berlainan’ dari biasa.

1 Foto Taco Bell Corp.
– Foto Taco Bell Corp.

“Mereka memberikan kami taco shell (berkulit keras). Saya tidak pernah melihatnya seumur hidup saya. Ia tidak pernah wujud di Mexico. Kebiasaannya, taco dibuat daripada kulit tortilla lembut,” jelasnya.

Hayek kemudiannya cuba menjelaskan kepada kakitangan Taco Bell tersebut bahawa mereka mahukan taco tortilla – dan bukannya apa yang telah disajikan kepada mereka tersebut.

“Kami saling bertanya, ‘macam mana nak sebut taco dalam bahasa Inggeris?’ Saya tak sedar pula, nama tempat itu sendiri adalah Taco Bell, ” katanya Hayek kepada Clarkson.

“Saya seperti, ‘OK, taco, taco, taquito. Anda menggulungnya (seperti ini). Yum, yum, yum. Ini keras, bukan macam ini. Ini bukan taco,'” Hayek bercerita sambil meniru bagaimana dia menggayakan cara untuk makan taco ketika itu.

Akhirnya, Hayek mendapat penjelasan, sebenarnya Taco Bell ada menawarkan taco jenis keras dan lembut.

“Rupa-rupanya, itu adalah taco yang berasal Texas, seperti makanan Tex-Mex,” katanya.

Ya, betul. Taco berkulit keras sebenarnya bukan berasal dari Mexico.

Taco bertempurung keras yang diperbuat dari tortilla jagung goreng berbentuk ‘U’ merupakan makanan Mexico yang dikembangkan di Amerika Syarikat dan dipopularkan oleh Taco Bell. Namun, ia sebenarnya tidak dicipta oleh Taco Bell.

Baca juga: Cawangan Pertama Taco Bell Akan Dibuka Di Malaysia Tidak Lama Lagi

Jeffrey Pilcher, seorang profesor sejarah makanan di University of Toronto Scarborough, berkata taco rangup berkulit keras diilhamkan dari taco dorados (taco goreng) dari Mexico, yang berasal sejak dari tahun 1890-an lagi.

Taco rangup mula popular di Texas dan California pada awal tahun 1940-an. Glen Bell, mula menjual kudapan lazat tersebut pada tahun 1950-an di rangkaian restoran bernama Taco Tia, yang kemudiannya menjadi Taco Bell.

2 Foto Taco Bell Corp.
– Foto Taco Bell Corp.

Salam Hayek kembali dalam filem The Hitman’s Wife’s Bodyguard bersama Ryan Reynolds dan Samuel L. Jackson.

Taco Bell kini ‘laku keras’ di Cyberjaya dengan setakat ini lebih 100 ribu taco telah terjual.

Sumber: Today