Kajian: Makan Berlebihan Bukan Punca Obesiti

Berita yang melegakan buat mereka yang suka makan banyak kerana terdapat kajian yang menunjukkan bahawa makan berlebihan bukanlah punca sebenar obesiti.

Ini bermakna, tanggapan bahawa orang yang mempunyai berat badan yang berlebihan adalah orang yang gemar makan banyak adalah salah.

Tetapi, adakah ini juga bermakna, anda boleh makan seberapa banyak pun yang anda suka setiap hari kerana berat badan anda bukan bergantung sepenuhnya kepada berapa banyak yang anda makan?

Memanglah, jika dilihat secara umum, kebiasaan makan dengan berlebihan amat sinonim dengan risiko kenaikan berat badan atau punca kepada berlakunya obesiti.

Namun, kajian terbaharu yang diterbitkan dalam The American Journal of Clinical Nutrition ini pula mengatakan sebaliknya.

Kajian tersebut mengatakan bahawa, makan berlebihan bukanlah penyebab obesiti kerana penyebab sebenar adalah tabiat makan menggunakan sumber glisemik yang tinggi seperti karbohidrat halus.

Dipetik dari Healthshots.com, pengambilan makanan dari jenis sumber ini menyebabkan tindak balas hormon yang dapat mengubah metabolisme badan.

Jadi sebenarnya, glisemik yang tinggi seperti karbohidrat halus sebenarnya yang mendorong penyimpanan lemak, kenaikan berat badan seterusnya menyebabkan obesiti.

Baca juga: 5 Sebab Dah Makan Tapi Masih Lagi Rasa Lapar

Karbohidrat sebenarnya masih boleh diambil, tetapi kebanyakan karbohidrat yang dimakan pada masa ini adalah daripada jenis karbohidrat proses atau karbohidrat halus.

Misalnya ialah tepung gandum yang diproses sehingga menyebabkan teksturnya menjadi sangat kecil dan halus seperti serbuk.

Selain itu, gula pasir yang bertekstur halus serta mengandungi glukosa dan fruktosa semata-mata juga termasuk dalam kategori karbohidrat halus.

Makanan yang diperbuat daripada karbohidrat halus ini pula sangat pantas dihadam dan bertukar menjadi glukosa dengan sangat cepat.

Inilah yang menyumbang kepada peningkatan paras glukosa sangat tinggi dalam darah kerana makanan tersebut mempunyai nilai indeks glisemik tinggi.

Foto Pexels
– Foto Pexels

Apabila anda sering mengambil makanan berkarbohidrat halus, badan anda hanya meningkatkan rembesan insulin dan glukosa pula menjadi tinggi.

Ini seterusnya memberi isyarat kepada sel lemak untuk menyimpan banyak kalori dan badan tidak mendapat tenaga yang secukupnya.

Tubuh yang tidak mendapat cukup tenaga pula akan menyebabkan seseorang merasa lapar secara berterusan.

Untuk mengatasi rasa lapar tersebut, seseorang akan terus makan dengan berlebihan terutama sekali makanan yang berlemak sehingga rasa kenyang dan inilah sebenarnya yang menjadi punca obesiti.

Kesimpulannya, kalau nak makan banyak juga, makanlah makanan yang menyihatkan sahaja dan gunakan tenaga berlebihan itu untuk bersenam.

Sumber: Suara.com