
Rupa-rupanya ada cara atau tip yang ramai tidak tahu untuk panaskan makanan menggunakan microwave atau ketuhar gelombang mikro.
Selama ini, ramai yang ambil dan letak sahaja dalam microwave makanan yang dah sejuk tu dan dengan pantas menekan butang minit atau terus tekan ‘Start/Stop’.
Tiba-tiba sahaja macam ‘magic’ dah siap pun! Terus jadi panas semula, kan?
Tapi, pernah tak kita terfikir, cara panaskan makanan dengan microwave macam tu agak ‘gagal’ juga kerana kadang-kadang hanya beberapa bahagian makanan tersebut sahaja yang panas. Betul tak?
Bila tengah sedap-sedap makan, kadang-kadang ‘terpotong’ selera juga sebab tiba-tiba ada bahagian yang masih sejuk. Lebih-lebih lagi bila makanan tu baru sahaja keluar dari peti ais. Beku ‘semacam je’.
Fuh! Silap-silap sekelip mata hati pula boleh bertukar menjadi panas!

Seorang pengguna TikTok yang berumur 22 tahun iaitu Isabella Avila baru-baru ini menjadi ‘viral’ selepas berkongsi tip hebat bagi mengatasi ‘masalah dunia’ tersebut.
Baca juga: Amaran! Elak Panaskan Semula 10 Makanan Ini
Isabella bukan sahaja berkongsi satu, tetapi tiga tip untuk untuk memastikan makanan yang dipanaskan dalam ketuhar gelombang mikro dapat dipanaskan dengan sekata.
Menurutnya, kunci utama bagi mengatasi permasalahan itu sebenarnya terletak kepada kebijaksanaan membahagi ruang serta menyusun atur hidangan itu sendiri.
“Anda seharusnya tidak meletakkan makanan di tengah-tengah pinggan,” kata Isabella dalam klip video tersebut yang menyeru agar bahagian tengah pinggan dikosongkan sahaja.
“Makanan harus diletakkan di bahagian tepi atau hujung-hujung pinggan dan dibiarkan begitu sahaja agar ianya dapat berputar dan dipanaskan secara rata,” ujar beliau lagi.
Tip kedua yang dikongsikan oleh beliau ialah cara untuk memanaskan makanan yang mempunyai nilai karbohidrat yang tinggi seperti piza atau pasta.
Letakkan secawan air bersama makanan tersebut bagi menjadikannya kekal lembab seperti baru dimasak serta bagi mengelakkannya menjadi terlalu keras atau kenyal.
Tip terakhir pula ialah bagaimana hendak memanaskan dua hidangan sekaligus di dalam microwave agar lebih menjimatkan masa.
Ambil cawan kosong dan terbalikkannya untuk diletakkan di tengah-tengah pinggan yang mempunyai hidangan dihujungnya.
Ambil hidangan kedua yang ingin dipanaskan dan letakkannya pula di atas cawan kosong tadi dan saksikan dua hidangan berputar serta dipanaskan serentak!
Sejak disiarkan bulan lalu, klip video berdurasi 26 saat tersebut telah ditonton lebih dari 6.5 juta kali, mengumpul hampir 911,000 likes, menerima lebih dari 4,460 komen dan dikongsi lebih dari 22,000 kali!
Wow! Tak sabar rasanya nak panaskan makanan dalam microwave cara TikTok ni!
Sumber: People