Sate, Burger, Bebola Daging Dan Arnab Perap Dari Kelantan ‘Terlajak Laris’

Bagi mereka yang dah bosan asyik-asyik makan sate ayam, burger dan bebola daging lembu kini bolehlah menukarkannya dengan daging arnab pula.

Khabarnya, di Kelantan, permintaan bagi sate, burger, bebola daging dan arnab perap melonjak tinggi hinggakan perternak arnab di sana tak menang tangan!

Sepasang suami isteri dari Kampung Chengal, Ketereh dilaporkan menerima tempahan sebanyak 500 kilogram daging arnab dari pelanggan setiap bulan!

Baca juga: Belalang Goreng Berempah – Kudapan Manis, Masin Dan Rangup Dari Kelantan Yang Semakin Digemari Ramai

Wow! Ramai juga yang gemar makan haiwan comel ni rupanya. Tak sangka pula haiwan yang selalu dipelihara dan dibelai manja ni rasanya sedap.

Kalau haiwan lain yang agak ‘kurang comel’ macam ayam, itik, lembu, kambing dan kerbau tu, faham jugalah ramai terus saja makan tanpa berfikir dua kali. Tapi, kalau arnab ni, rasa macam tak sampai hati pula, kan?

Foto BERNAMA
– Foto BERNAMA

Tetapi, menurut Mohd Saupi Hassan, 55, sekitar dua tahun yang lepas lagi, permintaan yang tinggi diperolehi dari Johor dan Kuala Lumpur terutama sekali dari pembuat sate.

Ketika mula-mula menternak, beliau hanya mempunyai 9 ekor arnab tetapi kini jumlahnya telah mencecah sehingga 500 ekor.

“Saya membekalkan daging arnab siap disembelih, dilapah dan diperap. Apabila permintaan terhadap sate, burger, dan bebola daging arnab tempahan diterima meningkat secara purata saya perlu membekalkan lebih 500 kg daging atau sekitar 500 ekor sebulan.

“Daging arnab yang siap disembelih, dilapah dan diperap dijual pada harga RM38 sekilogram dan permintaan datang daripada pembuat sate dari Johor dan Kuala Lumpur,” katanya kepada BERNAMA baru-baru ini.

Beliau dan isteri Noriha Ahmad, 49, yang membina kandang arnab di belakang rumah sentiasa peka terhadap pemakanan haiwan tersebut demi menjaga kualiti dagingnya.

“Makanan adalah perkara paling penting dalam usaha ‘menggemukkan’ arnab bagi penghasilan banyak daging berkualiti sehingga ada arnab ini mencecah berat antara dua hingga lima kilogram.

“Arnab jenis Chinchilla dan New Zealand White yang dipelihara ini adalah baka kacukan dan dijual bergantung kepada kategori dan umur dengan harga bermula dari RM30 seekor (usia sebulan) hingga RM150 seekor,” ujarnya lagi.

Beliau turut mendakwa arnab peliharaannya tidak diberi makan palet semata-mata, tetapi juga lebih banyak pokok organik seperti daun pisang, ulam raja, sireh cina dan belalai gajah yang tumbuh di sekitar rumah.

Arnab juga cepat mencapai usia matang iaitu sekitar empat bulan sebelum fasa mengawan yang boleh melahirkan sehingga tujuh hingga lapan ekor anak.

Walau bagaimanapun, laporan dari BERNAMA tersebut hanya menyebut tentang daging arnab yang sering dijadikan sate, burger, bebola dan daging perap.

Tidak dinyatakan pula bahagian arnab yang manakah yang paling sedap dimakan sama ada peha, dada mahupun telinga serta apakah resipi memasak daging arnab yang paling popular di Kelantan.

Sumber: Sinar Harian