
Tatkala Malaysia masih diselubungi pandemik, tiba-tiba muncul makanan eksotik belalang goreng berempah dari Kelantan yang laris di pasaran.
Selain dari belalang goreng berempah, belalang yang dimasak kerutuk atau goreng kunyit dari Kelantan turut popular masa kini.
Kira-kira sejak tiga bulan yang lalu, Emi Zuhaida Husain, 35, dan adik bongsunya, Emi Zuhaika Husain, 25, dari negeri Cik Siti Wan Kembang ini berjaya menjadikan belalang sebagai punca pendapatan sampingan.

Bekalan belalang yang sudah siap dimasak diambil daripada pembekal di Pasir Puteh dan mereka berdua pula mengambil tugas untuk memasarkan dan menghantarkannya kepada pelanggan.
Menurut Emi Zuhaida, ramai pelanggannya yang membeli belalang goreng berempah semata-mata untuk merasai dan mencuba sendiri keenakan rasanya yang unik.
“Makanan ini juga mendapat permintaan pelanggan dari luar Kelantan,” ujar beliau ketika ditemui oleh pihak akhbar Berita Harian di Kok Lanas.
Tambah beliau lagi, makanan eksotik tersebut pernah dihantar secara pos ke beberapa negeri di serata Malaysia termasuk Johor, Selangor, Negeri Sembilan dan juga Pahang.
“Semua boleh cari makan, mereka yang mencari belalang, pembekal dan penjual macam saya boleh mencari pendapatan sampingan untuk menampung keluarga,” jelasnya lagi.
Baca juga: 7 Makanan Wajib Cuba Jika Berkunjung Ke Kelantan
Kata-kata beliau berikut menunjukkan bahawa belalang boleh dijadikan sebagai industri kecil dan berupaya untuk membantu sesiapa sahaja yang ingin menjana pendapatan.
Kini, dalam sehari sahaja beliau mampu untuk menjual belalang goreng berempah di antara 15 hingga 20 botol.
Setiap botol belalang goreng berempah yang beratnya kira-kira 100 gram tersebut dijual dengan harga RM16 sahaja.
“Belalang ini digoreng secara berempah. Adunan rempah itulah yang membuatkan rasanya begitu unik dan sedap selain mempunyai rasa lemak santan, manis, masin dan rangup,” tambah beliau.
Semoga pasangan adik-beradik dari Kelantan ini terus maju dan usaha mereka menjadikan belalang goreng berempah ini sebagai sumber pendapatan dapat dijadikan contoh kepada generasi muda yang lain.
Diharapkan juga selepas ini ramai lagi usahawan baru muncul dengan idea kreatif untuk resipi atau kudapan belalang yang lebih menarik seperti ‘char kuetiau belalang’, ‘belalang cheese leleh’ dan sebagainya.
Sumber: Berita Harian