Selepas 109 Tahun, Kafe Oreo Pertama Di Dunia Kini Dibuka

Penggemar biskut popular Oreo kini mempunyai sebab untuk sama-sama melonjak gembira kerana buat julung kalinya di dunia, Kafe Oreo pertama telah dibuka!

Kafe Oreo yang pertama seumpamanya di dunia itu telah dibuka pertengahan bulan ini di pusat membeli belah terkemuka American Dream Mall yang terletak di New Jersey, Amerika Syarikat.

Biskut Oreo memang telah lama menjadi kegemaran ramai sejak pertama kali diperkenalkan di Amerika Syarikat pada tahun 1912 lagi.

Kini, biskut coklat dengan krim terlaris di dunia tersebut dapat dinikmati di lebih 100 buah negara termasuklah menjadi kegemaran ramai di Malaysia.

Di Malaysia, Oreo turut terkenal dengan ritual ikonik “putar, jilat, celup” yang mendapat tempat di hati penggemarnya yang bukan sahaja di kalangan kanak-kanak malah juga golongan dewasa.

Walaupun Oreo telah berusia lebih seabad, Kafe Oreo yang mendapat sambutan hangat tersebut membuktikan bahawa biskut tersebut masih lagi relevan pada hari ini.

Baca juga: Hanya Pakai Dinding Berlubang Dan ‘Tangan Beruang’, Kafe Ini ‘Laku Keras’

Kafe Oreo terletak di tingkat atas IT’SUGAR yang merupakan sebuah rangkaian besar kedai-kedai yang menjual gula-gula, cenderamata dan hadiah yang berukuran 22,000 kaki persegi dan setinggi tiga tingkat.

Foto Oreo Café
– Foto Oreo Café

American Dream Mall yang terletak di East Rutherford pula merupakan sebuah pusat komersial dan hiburan terkenal seluas 3 juta kaki persegi yang dibuka pada 2019.

Di sini juga terletaknya DreamWorks Water Park iaitu taman air tertutup terbesar di Amerika Syarikat, Nickelodeon Universe Theme Park, sebuah resort ski dan salji tertutup, LEGOLAND, pusat akuarium, golf mini dan banyak lagi.

Setiap pengunjung Kafe Oreo diberi kebebasan untuk memilih dan memadankan sendiri pilihan pencuci mulut dari senarai menu yang diberi.

Beraneka jenis wafel, ais krim, kek, biskut, kon, mousse, susu kocak dan juga bermacam-macam jenis hiasan topping pula ditawarkan untuk dipadankan mengikut citarasa masing-masing.

Menurut wakil dari Kafe Oreo, terdapat lebih dari 200 kombinasi unik yang boleh dipilih oleh setiap pengunjung.

Kafe Oreo yang pertama di dunia ini turut menyediakan pelbagai cenderamata menarik edisi terhad Oreo seperti beg tote, pakaian dan perhiasan rumah.

Pada hari ini, lebih dari 60 bilion biskut Oreo dijual setiap tahun di seluruh dunia.

Sumber: RetailNews.Asia