Taco Bell Perkenalkan Reka Bentuk Restoran Futuristik Pasca-COVID-19

Bagi mengadaptasi kehidupan masa kini dengan situasi semasa yang padat dengan peraturan dan norma baru, Taco Bell telah memperkenalkan sebuah restoran dengan reka bentuk yang bercirikan elemen futuristik.

Idea inovatif untuk restoran berkonsep futuristik Taco Bell ini walau bagaimanapun, hanya akan dibuka pada tahun 2022 di Minnesota, Amerika Syarikat.

Ya, betul. Masih lagi hanya satu restoran Taco Bell tunggal sahaja yang terdapat di Malaysia iaitu di Cyberjaya dan tiada lagi kedengaran ura-ura untuk cawangan kedua mahupun cawangan futuristik yang akan dibuka buat masa ini.

Diberi nama sebagai ‘Taco Bell Defy’, konsep restoran ini seolah-olah mahu memberi satu mesej yang jelas iaitu untuk menunjukkan dunia bahawa COVID-19 boleh ‘ditewaskan’.

Foto Taco Bell
– Foto Taco Bell

Ia akan menjadi restoran Taco Bell pertama seumpamanya dengan ketinggian dua tingkat dan keluasan lebih kurang 3,000 kaki persegi.

Selain itu, restoran ini bukan sahaja menawarkan satu lorong yang dikhaskan untuk pelanggan pandu-lalu, tetapi empat lorong!

Sebanyak tiga lorong dikhaskan semata-mata untuk pelanggan mengambil pesanan yang telah dibuat terlebih dahulu menggunakan aplikasi telefon pintar atau secara dalam talian.

Baca juga: Pertama Kali Mencuba ‘Taco Bell’, Ini Reaksi Salma Hayek

Manakala satu lagi lorong pula merupakan lorong pandu-lalu biasa yang membolehkan pelanggan membuat pesanan secara tradisional iaitu melalui interaksi serta komunikasi video dan audio dua hala di antara pelanggan dan pekerja restoran.

Pelanggan yang datang terlebih dahulu perlu mendaftar masuk secara digital iaitu dengan mengimbas kod QR unik yang disediakan.

Setelah membuat pesanan dan pembayaran, pesanan makanan akan dihantar kepada pelanggan dari tingkat dua restoran menggunakan sistem lif khas.

Semua proses ini dapat dilakukan secara mudah mengikut visi elemen-elemen futuristik yang ingin ditonjolkan tanpa melibatkan sebarang sentuhan atau contactless.

Mike Grams, Presiden dan COO Global Taco Bell berkata, konsep ‘Defy’ yang diuji di restoran ini diharap dapat menghasilkan lebih banyak penambahbaikan baru untuk restoran Taco Bell di era masa depan pasca-COVID-19.

Taco Bell Defy akan memulakan proses pecah tanah pada bulan Ogos 2021 dan dijangka akan dibuka kepada umum pada pada musim panas 2022.

Sumber: Fox19.com