
Penggemar ayam goreng pedas-pedas pasti tidak mahu melepaskan peluang untuk mencuba menu baru dari KFC ini iaitu ayam Extra Hot & Spicy.
Dilancarkan pada 26 Ogos 2021, KFC telah memperkenalkan ayam goreng yang diberi nama Extra Hot & Spicy tersebut di laman web rasmi dan platform media sosialnya.
Awal hari ini, KFC telah memuat naik satu ciapan di Twitter rasminya yang berbunyi, “Korang nak Pedas Ngam-Ngam, Sedap Kaw-Kaw kan? KFC Extra Hot & Spicy! Siap ada Kentang Putar, Coleslaw dan Lemonade,” yang merujuk kepada menu baru tersebut.

Turut dimuatkan bersama adalah video pendek berdurasi 15 saat yang menggambarkan dua orang pelanggan wanita KFC yang sedang menikmati kepedasan tidak terhingga sambil diselangi dengan imej cili merah dan mata yang berapi-api.
Menu perasa ayam goreng baru yang lebih pedas berikut walau bagaimanapun dikhabarkan, hanya untuk tempoh waktu yang terhad sahaja.
Tinjauan di laman web rasmi KFC mendapati, turut diperkenalkan ialah kentang goreng baru yang diberi nama Kentang Goncang.
Dipercayai menu Kentang Goncang ini merupakan kentang goreng biasa yang kini disediakan bersama dengan sekeping beg kertas untuk digoncang bersama sepeket serbuk cili.
Baca juga: Resipi Rahsia Sos Keju Leleh Ala ‘Cheezy Wedges’ KFC
Sesuai dengan citarasa rakyat Malaysia yang sukakan makanan yang pedas-pedas, menu ayam goreng Extra Hot & Spicy dan Kentang Goncang ini dijangka akan mendapat sambutan hangat.

Terdapat sedikit perbezaan menu bagi pelanggan yang membuat pesanan secara dalam talian menggunakan khidmat Penghantaran atau Ambil Sendiri/Pandu Lalu.
Bagi pelanggan yang membuat pesanan menggunakan perkhidmatan Penghantaran, tiada pilihan minuman Nestle Lemonade yang disediakan.
Hanya disediakan adalah minuman Pepsi Black dalam bentuk tin atau botol tertakluk kepada berapa ketul ayam goreng Extra Hot & Spicy yang dipesan.
Bagi khidmat Penghantaran, hidangan kombo 1 ketul hingga 12 ketul ayam Extra Hot & Spicy bersama Pepsi Black, kentang putar, coleslaw atau bersama burger Zinger Classic dan Kentang Goncang bermula dari RM17.99 hingga RM77.49.
Jika Ambil Sendiri/Pandu Lalu pula, hidangan kombo KFC Extra Hot & Spicy ini bermula dari RM15.99 hingga RM71.49 sahaja.
Kentang Goncang à la carte bersaiz besar pula berharga RM6.49 untuk Penghantaran dan RM5.99 sahaja untuk Ambil Sendiri/Pandu Lalu.
Sumber: KFC Malaysia