Nak Menonton Wayang? Ini Prosedur Operasi Standard (SOP) Pawagam Di Malaysia Yang Perlu Anda Tahu

Ramai yang masih tidak tahu Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk menonton wayang di Malaysia yang kini telah dibenarkan semula oleh kerajaan.

Setelah sekian lama menanti, akhirnya berita gembira yang ditunggu-tunggu saban hari oleh ‘kaki wayang’ semua telah tiba.

Dah terlalu lama terperap di rumah, lepas ni bolehlah nak tengok Scarlett Johansson dalam Black Widow, Dwayne Johnson dalam Jungle Cruise dan Ryan Reynolds dalam Free Guy pula.

Banyak lagi sebenarnya filem-filem baru seperti Shang-Chi And The Legend Of The Ten Rings, A Quiet Place Part II, Eternals, Venom: Let There Be Carnage, Spider-Man: No Way Home dan The Matrix: Resurrections yang akan ditayangkan tidak lama lagi.

Fuh! Tak sabar rasanya, kan? Tetapi, masih ramai yang tertanya-tanya dan ragu-ragu mengenai SOP ketat untuk menonton wayang di Malaysia sekarang ni.

Baca juga: Ini Apa Yang Perlu Anda Tahu Sebelum Merancang Untuk Bercuti Ke Langkawi

SOP ini diperkenalkan setelah Malaysian Association of Film Exhibitors (MAFE) mengambil keputusan untuk ‘tunggu dulu’ walaupun kerajaan telah memberi ‘lampu hijau’ mulai 9 September lalu.

Di antara SOP yang telah disusun untuk pengusaha pawagam ialah mereka yang bekerja di pawagam mesti telah mendapat vaksin lengkap dan lulus ujian saringan COVID-19.

Selain itu, cecair sanitasi tangan harus disediakan di pintu masuk dan di seluruh premis untuk digunakan oleh pekerja dan orang ramai.

Buku pendaftaran pelanggan pula perlu disediakan di tempat yang tidak mempunyai liputan internet atau untuk pelanggan yang tidak memiliki telefon pintar.

Foto Shafwan Zaidon Malay Mail
– Foto Shafwan Zaidon/Malay Mail

Berikut merupakan di antara senarai SOP untuk menonton wayang di Malaysia yang perlu anda tahu buat masa ini:

Siapa yang dibenarkan

Mereka yang telah lengkap divaksin tetapi perlu memiliki aplikasi telefon bimbit MySejahtera untuk dijadikan sebagai rujukan atau bukti.

Siapa yang tidak dibenarkan

Sekiranya status MySejahtera menunjukkan status berisiko tinggi dan remaja yang berumur 17 tahun ke bawah.

Pembelian tiket

Penjualan tiket dalam talian dan tanpa tunai adalah digalakkan tetapi penonton masih boleh menggunakan kios atau mesin tiket dengan menjaga jarak fizikal.

Pengesahan tiket juga akan dibuat melalui mod tanpa sentuh berdasarkan pengesahan tempahan tiket.

Susunan tempat duduk

Semua tempat duduk mesti dijarakkan sejauh satu meter bagi tujuan penjarakan fizikal.

Tempat duduk pasangan hanya dibenarkan untuk ahli keluarga dan/atau ahli keluarga yang sama dengan mengemukakan dokumen yang relevan sebagai bukti.

Makanan dan minuman

Pembelian makanan mesti ditempah secara dalam talian semasa menempah tiket filem, sementara kios perkhidmatan hanya dibenarkan untuk makanan dan minuman yang dibungkus.

Pelanggan yang ingin beratur mengambil makanan dan minuman yang telah dipesan di kios perlu mematuhi SOP penjarakan fizikal.

Operasi pawagam

Waktu operasi untuk pawagam di seluruh Malaysia adalah dari jam 8 pagi hingga 10 malam sahaja dengan jumlah penonton tidak melebihi 50 peratus dari kapasiti ruang tayangan.

Waktu tayangan filem

Penonton tidak dibenarkan meninggalkan dewan tayangan kecuali untuk kes kecemasan, menggunakan tandas atau meminta bantuan daripada kakitangan keselamatan.

Penonton juga tidak dibenarkan untuk berkeliaran di luar pawagam setelah tamat tayangan filem.

Seorang Pegawai Penyelia Protokol Pawagam ditugaskan untuk memberi penerangan mengenai SOP dan Pelan Kecemasan sebelum setiap sesi tayangan dimulakan.

Topeng muka mesti dipakai sepanjang masa semasa sesi tayangan filem berlangsung.

Selepas filem tamat, penonton mesti menunggu terlebih dahulu sebelum diberi kebenaran untuk meninggalkan dewan.

Sumber: Malay Mail