Dituduh Tidak Jujur, Ini Satu-Satunya Negara Di Dunia Yang Tidak Pernah Ada Kes COVID-19

Dalam kelam-kabut satu dunia sedang memerangi pandemik, muncul satu negara yang gah mengatakan mereka tidak pernah ada satu pun kes COVID-19!

Betul. Tidak pernah ada seorang pun yang pernah dijangkiti COVID-19 di negara ini yang merupakan satu-satunya negara di dunia yang kekal dengan rekod bersih sifar kes COVID-19.

Hampir dua tahun sejak pandemik COVID-19 melanda dunia, pihak berkuasa Turkmenistan belum pernah mendakwa satu kes jangkitan pun di sana.

Foto Wikipedia
– Foto Wikipedia

Turkmenistan merupakan sebuah negara kecil pecahan dari Republik Soviet yang terletak di Asia Tengah dan hanya mempunyai kira-kira 6 juta penduduk.

Setakat ini, belum ada kes COVID-19 yang dilaporkan di negara ini. Tiada juga data yang diperolehi oleh Johns Hopkins University atau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai kes COVID-19 dari Turkmenistan.

Dalam satu ucapan pada sesi persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) minggu lalu, Presiden Turkmenistan Gurbanguly Berdimuhamedow sekali lagi menegaskan tentang dakwaan ini.

Beliau turut mendesak agar PBB tidak lagi membangkitkan hal ini dan meminta agar ianya tidak menjadi isu politik.

Namun, terdapat organisasi bebas, wartawan dan aktivis luar yang mengatakan terdapat bukti bahawa negara itu kini sedang bergelut memerangi gelombang ketiga COVID-19.

Baca juga: Lihat Senarai 10 Sempadan Negara Antarabangsa Yang Unik Di Dunia

Mereka turut mendakwa terdapat ramai pesakit yang kini membanjiri hospital dan kadar kematian turut mencatat angka puluhan orang.

Daripada menerima hakikat dan bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa, Turkmenistan memutuskan untuk tetap bertahan dengan dakwaannya,” kata Ruslan Myatiev, seorang rakyat Turkmenistan dalam buangan dan merupakan seorang editor organisasi berita bebas Turkmen News yang berpusat di Belanda.

Menurut laporan CNN International, Ruslan mengatakan dia kini telah berjaya mengumpulkan lebih dari 60 nama pesakit yang telah meninggal dunia akibat wabak tersebut di Turkmenistan.

Di antara nama-nama yang beliau perolehi berikut, ada di antara mereka merupakan seorang guru, doktor dan penggiat seni.

Ruslan mendedahkan bahawa, beliau mula dihubungi oleh seorang pemberi maklumat pada Mei 2020 yang menghantar mesej mengenai penyakit pernafasan yang agak aneh seperti selesema.

“Ketika purata suhu di Turkmenistan mencatat angka 40 darjah Celsius, biasanya tidak ada musim selesema di negara ini,” jelasnya.

Diana Serebryannik, pengarah Organisasi Hak dan Kebebasan Warganegara Turkmenistan yang berpusat di Eropah mengatakan, dia juga ada mendapat maklumat dari rakyat di negara itu yang mendakwa bahawa hospital-hospital di sana kini sedang berjuang menangani peningkatan kes jangkitan.

Dia juga telah diberitahu bahawa oksigen dan alat bantuan pernafasan agak sukar didapati ketika ini. Kos rawatan juga mahal dan kadang-kadang pesakit hanya dihantar pulang.

Menurut Serebryannik lagi, punca rasmi kematian tidak disenaraikan sebagai COVID-19 tetapi dicatat sebagai radang paru-paru, ataupun dalam sesetengah kes diklasifikasikan sebagai serangan jantung sahaja.

Sementara itu, sebuah pertubuhan bukan kerajaan iaitu Human Rights Watch mengatakan bahawa pekerja kesihatan sering ditekan dan dipaksa untuk berdiam diri oleh pihak berkuasa dari menceritakan hal sebenar.

Misi WHO ke Turkmenistan pada Julai 2020 juga tidak dapat mengesahkan terdapatnya jangkitan COVID-19 di negara itu. Tetapi, peningkatan jumlah kes jangkitan pernafasan akut dan radang paru-paru agak ketara.

Setakat ini, Turkmenistan mengatakan bahawa keadaan masih terkawal dan negara mereka tidak ada COVID-19.

Kerajaannya juga didapati sering menasihati rakyat untuk sentiasa mengambil makanan tambahan pelik seperti beberapa jenis sup pedas tertentu.

Sumber: CNBC