‘Tawar Dan Keras Macam Batu Bata,’ – Restoran Street Burger Gordon Ramsay Teruk Kena Kecam

Restoran Street Burger milik chef selebriti popular Gordon Ramsay baru-baru ini dikecam teruk oleh ramai pelanggan yang pernah mengunjunginya.

Kalau dalam siri TV realiti, Gordon Ramsay memang terkenal dengan mulut celuparnya yang tanpa segan silu suka mencarut dan memaki orang kalau dia tidak berpuas hati mengenai sesuatu.

Kali ini, netizen seolah-olah macam nak balas dendam pula kerana ramai yang memburuk-burukkan dan memberi ulasan negatif terhadap restoran burgernya itu.

Kualiti makanan di restoran tersebut mungkin benar-benar teruk hinggakan ada pengunjung yang memberi komen ianya sebagai ‘tidak boleh dimakan langsung!’.

Rangkaian restoran Street Burger cawangan High Street Kensington tersebut dibuka pada bulan Mei 2021, hampir enam bulan selepas restoran sulungnya dibuka di London pada Disember 2020.

Entah di mana silapnya, hanya beberapa bulan kemudiannya, cawangan itu didapati tidak henti-henti menerima ulasan negatif di TripAdvisor.

Foto TripAdvisor
– Foto TripAdvisor

Daripada 53 jumlah ulasan, 10 pengunjung telah memberi maklum balas bahawa restoran Street Burger tersebut adalah ‘terrible’ manakala 10 lagi mengatakan ianya ‘poor’.

Beberapa ulasan didapati turut menggambarkan bahawa burger dari chef berstatus Michelin Star tersebut sebagai ‘tiada rasa’ dan ‘kering’.

Baca juga: Resipi ‘Telur Dadar Paling Hebat Di Dunia’ Oleh Jamie Oliver Yang Boleh Disediakan Dalam Hanya 45 Saat

Rangkaian restoran dari Gordon Ramsay ini menawarkan menu yang agak ringkas dan semua burgernya berharga £15 sahaja (RM85) dengan pilihan kentang goreng dan minuman ringan.

Pelbagai pilihan burger disediakan termasuklah daging lembu, kambing, ayam serta menu untuk golongan vegetarian.

“Jika anda sukakan daging burger yang dimasak secara ‘rare’ atau ‘medium rare’, memang jangan berharap sangatlah. Polisi mereka hanyalah menghidangkan daging ‘well done’ yang tawar dan keras macam batu bata,” tulis seorang pelanggan.

“Terus terang cakap, inilah burger yang paling teruk saya rasa. Tapi memang agak menyedihkan juga kerana perkhidmatannya pula hebat dan patut dipuji,” tulis seorang lagi pelanggan.

Agensi Piawaian Makanan UK sebelum ini pernah mengesyorkan bahawa semua burger harus dimasak secara ‘well done’ bagi membunuh bakteria berbahaya pada permukaan daging tersebut.

Ada juga yang memberi komen bahawa pesanan yang dibuat mengambil masa terlalu lama sehingga sejam walaupun ketika itu separuh dari restoran tersebut masih kosong.

Foto TripAdvisor
– Foto TripAdvisor

Walau bagaimanapun, masih ramai juga yang memuji mutu perkhidmatan dan makanan yang disediakan serta menganggapnya sebagai sangat sedap dengan harganya yang memang berpatutan.

 “Janganlah disamakan pula dengan standard restoran Ramsay yang lain kerana restoran burger ini memang berbeza dan anda mungkin benar-benar akan menyukainya nanti,” komen seorang pelanggan.

Lepas dikecam teruk macam tu, tak pasti sama ada Gordon Ramsay akan membuka cawangan baru Street Burger lagi selepas ini.

Tapi, dalam satu perkembangan yang lain, buat julung kalinya, Gordon Ramsay bakal membuka restorannya di Malaysia yang diberi nama Gordon Ramsay Bar & Grill di Sunway City awal tahun depan.

Mungkin kalau restoran ini mendapat sambutan, Gordon Ramsay akan membuka Street Burger pula di sini nanti.

Sumber: The Independent