Resipi ‘Telur Dadar Paling Hebat Di Dunia’ Oleh Jamie Oliver Yang Boleh Disediakan Dalam Hanya 45 Saat

Kalau dah dimasak oleh Jamie Oliver, sudah tentulah, telur dadar macam ni punya simple pun nampak sangat sedap dan menggiurkan!

Macam tak percaya, tapi resipi telur dadar dari Jamie Oliver ini memang nampak tersangat mudah dan mengambil masa hanya 45 saat sahaja untuk disediakan.

Menyediakan sarapan pagi kadang-kadang melecehkan dan tidak disukai kerana ramai yang mengejar masa untuk memulakan hari yang penuh dengan jadual yang sibuk.

Foto Getty Images
– Foto Getty Images

Sebenarnya, menyediakan telur dadar tidak mengambil masa yang lama dan tidak memerlukan kemahiran memasak yang tinggi.

Kanak-kanak yang ingin berjinak-jinak dalam dunia masakan pun sudah mula boleh belajar cara bagaimana untuk menyediakan telur dadar yang lazat ini.

Oliver berkongsi resipi ringkas ini di akaun Instagram miliknya dan dengan pantas resipinya ini memperolehi lebih dari sejuta tontonan.

Baca juga: AWAS! Walaupun Sangat Comel Dan Tular Di TikTok, Resipi Ini Boleh Membawa Maut

Bahan-bahan yang diperlukan ialah 2 biji telur, sedikit garam dan serbuk lada hitam, minyak zaitun dan keju cheddar yang telah siap diparut.

Dia memulakan dengan meletakkan satu sudu minyak zaitun ke dalam kuali tidak melekat bersaiz 8 inci dan meletakkannya di atas dapur pada api sederhana tinggi.

Ya, betul. Panaskan kuali dulu. Inilah sebenarnya cara atau kunci utama bagi menyiapkan masakan ini dalam masa kurang dari satu minit.

Seterusnya, dia memecahkan dua biji telur ke dalam mangkuk dan menambahkan sedikit garam dan serbuk lada hitam, sebelum memukul atau mengacaunya dengan garpu.

Nota: Anda tidak perlu memecahkan kedua-dua telur serentak jika anda belum mempunyai kemahiran memasak seperti beliau. Memadai dengan memecahkan telur satu per satu walaupun cara ini mungkin memakan sedikit lagi masa.


Oliver kemudiannya menuangkan telur yang telah siap dipukul tadi ke dalam kuali dengan membuat satu pusingan untuk menyebarkannya secara rata dan membentuk satu lapisan yang nipis.

Sebaik sahaja telurnya dimasukkan ke dalam kuali yang panas, Oliver menaburkan lebih kurang dua sudu keju cheddar parut ke atas telur yang masih lagi belum masak sempurna tersebut.

Semasa keju tersebut masih lagi mencair, api sudah pun boleh dipadamkan dan kuali juga sudah boleh diangkat dari atas dapur bagi membiarkan saja telur tersebut digoreng menggunakan sisa-sisa haba yang masih tinggal.

Menggunakan sudip getah, dengan pantas Oliver melipat dan menggulung telur dadar tersebut tanpa terlalu memikirkan tentang kesempurnaan rupa bentuknya.

‘Telur dadar paling hebat di dunia’, resipi oleh Jamie Oliver sudah pun siap untuk dinikmati.

Cubalah!

Sumber: First For Women