Diiktiraf Sebagai Restoran Nasi Kandar Tertua Di Malaysia, Hameediyah Dedah Rahsia Dapat Bertahan Selama 114 Tahun

Restoran Hameediyah yang terletak di Lebuh Campbell, George Town merupakan destinasi hidangan nasi kandar terkenal di Pulau Pinang.

Mereka yang berkunjung ke Pulau Mutiara pasti menjadikannya sebagai lokasi wajib untuk singgah bagi merasai sendiri keunikan rasa original nasi kandar di sini.

Walaupun kini sudah terdapat 5 buah cawangan Restoran Hameediyah, namun restoran nombor satu ini tetap menjadi pilihan istimewa buat penggemar nasi kandar di Malaysia.

Pada 7 Julai 2020, Malaysia Book of Records telah mengiktiraf Restoran Hameediyah sebagai ‘Restoran Nasi Kandar Tertua’.

Pengiktirafan tersebut dibuat setelah mengambil kira operasi Restoran Hameediyah yang bermula sejak tahun 1907 lagi.

Setelah 114 tahun berlalu, rangkaian restoran Hameediyah terus teguh berdiri dan hingga kini telah diuruskan oleh enam generasi keluarga.

Foto mStar
– Foto mStar

Semuanya bermula apabila seorang peniaga rempah, Mohamed Thamby Rawther bersama anak-anaknya tiba dari Tamil Nadu, India pada awal tahun 1900-an.

Pada mulanya, beliau hanya berniaga rempah ratus tetapi kemudiannya mengembangkan lagi perniagaan dengan menjual nasi dan kari di bawah sebatang pokok.

Akhirnya, terbinalah sebuah restoran di premis bernombor 164, Lebuh Campbell dengan warna ikonik hijau dan kuning yang masih beroperasi sehingga ke hari ini.

Baca juga: Asal Usul Nasi Kandar Yang Dahulunya Makanan Pekerja Buruh Kini Makanan Mewah

Cawangan restoran Hameediyah yang lain kini terletak di Jalan Baru, Perai, Kota Damansara, Ampang dan yang terbaru di Sungai Ara, Pulau Pinang.

Foto mStar
– Foto mStar

Wow! Kalau dah boleh bertahan selama lebih satu abad, pastilah ada sesuatu atau rahsia keenakannya yang tersendiri yang membuatkan orang ramai tidak henti-henti datang, kan?

Menurut pemiliknya, Ahamed Seeni yang menguruskan perniagaan ini bersama dengan adiknya Syed Ibrahim, rahsianya terletak pada rempah ratus yang mereka buat sendiri.

Tiada langsung rempah segera yang digunakan sebaliknya, mereka hanya menggunakan rempah ratus yang digiling dan dicampur sendiri.

Semua campuran rempah ratus dan herba ini adalah mengikut resipi turun temurun generasi keluarga mereka yang dikekalkan bagi mendapatkan rasa yang konsisten sejak dulu.

Oh! Lebih kurang macam sejarah Colonel Sanders yang menggunakan 11 herba dan rempah ratus untuk resipi rahsia KFC juga la ni.

Tapi, KFC pun mula beroperasi sejak tahun 1952. Perniagaan Hameediyah ini pula dah mula sejak tahun 1907 lagi. Maknanya, Hameediyah lagi ‘power’ dari KFC lah! Betul tak?

Itu belum kira bagaimana Hameediyah bertahan ketika Perang Dunia Pertama dan Kedua, beberapa siri kemelesetan ekonomi dunia, pandemik Spanish Flu dan kini COVID-19 lagi. Hebat Hameediyah!

Fuh! Sambil-sambil baca artikel ni pun boleh tertelan air liur dibuatnya sebab terbayangkan kari kepala ikan, sotong Apollo dan ayam bawang Hameediyah, kan?

Sumber: mStar