Makan Sambil Belajar Sejarah Di ‘Muar Historia’ – Antara Katerer Kegemaran Keluarga Diraja Johor

Mereka yang pernah berkunjung ke Muar, Johor pasti mengenali Restoran Rabbit Home Muar Historia yang menawarkan pengalaman unik buat pelanggannya iaitu ‘makan sambil belajar sejarah’.

Bermula dengan ketibaan Parameswara, sehinggalah ke zaman Kesultanan Melayu Johor termasuk era pemerintahan Sultan Johor sekarang, pengunjung pasti seronok dapat belajar atau menimba sedikit ilmu sejarah ketika menjamu selera di Muar Historia.

Makanan yang disajikan di sini juga terdiri dari pelbagai jenis hidangan yang sinonim dengan negeri Johor seperti mi bandung Muar, mi rebus dan lontong.

Ramai masyarakat tempatan dan pengunjung yang datang turut mengenali Muar Historia sebagai restoran yang bukan sahaja menawarkan hidangan yang lazat di Muar malah merupakan antara salah satu katerer kegemaran keluarga diraja Johor.

Ketika mula melangkah masuk ke restoran ini, pengunjung seolah-olah sedang memasuki sebuah kedai barangan antik yang dihiasi susunan pinggan mangkuk lama sambil ditemani oleh lukisan mural Laksamana Cheng Ho.

Foto Facebook @RabbitHomeRestaurant
– Foto Facebook @RabbitHomeRestaurant

Segenap ruang dinding restoran ini juga dipenuhi dengan informasi mengenai peristiwa-peristiwa silam, hiasan artifak serta maklumat mengenai tokoh-tokoh sejarah.

Ditanya mengenai dekorasi restoran ini yang seakan-akan sebuah muzium, pemiliknya James Teo Peng Heng, 45, berkata beliau hanya ingin menawarkan kelainan kepada pelanggan sambil berkongsi sejarah mengenai Muar.

“Kita tiada muzium di Muar, jadi dengan mengubah suai restoran ini menjadi tempat menimba ilmu sambil menjamu selera bukan sahaja menawarkan satu kelainan, tetapi turut menarik kedatangan pelancong asing dan tempatan,” jelas beliau yang merupakan seorang anak jati Muar.

Baca juga: Makan Sambil Main ‘Squid Game’, Kafe Ini Tawar Pengalaman Unik Buat Pelanggannya

Usaha James Teo mengubah suai restoran yang diusahakannya sejak 2002 itu bermula pada 2014 setelah beliau tertarik pada satu barangan antik.

Minat beliau dalam bidang sejarah mula berputik selepas itu dengan mengumpul lebih banyak artifak bersejarah sambil turut dibantu oleh Persatuan Historia Muar Cultural Work.

Foto AstroAwani.com
– Foto AstroAwani.com

Restoran beliau itu juga sering menerima kunjungan pelancong luar dari China dan Jepun yang berminat untuk membuat rujukan mengenai sejarah Kesultanan Melayu.

James Teo turut berharap agar Muar dapat dijadikan sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Walau bagaimanapun, tidak diketahui pula bagaimana sejarah James Teo mendapat ilham untuk menamakan restoran ini sebagai ‘Rabbit Home’.

Bagi mereka yang tidak minat belajar sejarah di Muar Historia, jangan risau. Memang tidak semua orang suka mata pelajaran Sejarah.

Mungkin sedikit masa lagi, pasti akan ada restoran untuk belajar subjek lain seperti Geografi, Fizik atau Matematik Tambahan pula.

Sumber: AstroAwani.com