Tidak Perlu Guna Acuan Khas, Ini Resipi Mudah Takoyaki

Snek Jepun berbentuk bebola lembut, takoyaki sudah sebati dengan tekak rakyat Malaysia kerana bahan asasnya iaitu tepung gandum, inti dan disalut bersama sos seakan sama dengan kuih-muih di sini.

Sedikit sejarah tentang takoyaki, ia mula dipopularkan di Osaka oleh peniaga gerai bernama Tomekichi Endo pada 1935. Masakan ini inspirasikan daripada akashiyaki, sejenis pau bulat bersaiz kecil dari bandar Akashi di wilayah Hyogo yang diperbuat daripada tepung sadur dengan telur dan sotong kurita.

Keterujaan memakan takoyaki di gerai-gerai yang menjualnya sehinggakan kita sendiri ingin mencuba untuk menyediakan sendiri resipi ini.

Menjadi masalah apabila tiada acuan khas untuk membulatkan takoyaki. Namun, tidak perlu risau kerana Wan Muhammad Hafiz Satar telah berkongsi resipi dan teknik membuat takoyaki dengan lebih mudah tanpa menggunakan acuan.

Jom lihat resipi takoyaki versi beliau.

Bahan adunan:
1 cawan air panas didih
1 cawan tepung gandum
1 sudu gula
Secubit garam

Bahan sos:
Kicap manis
Gula
Air
Tepung jagung

Bahan tambahan:
Kobis
Daun sup
Cili merah
Sosej
Sotong
Isi ketam

*Boleh guna apa sahaja bahan mengikut cita rasa anda.

Resipi Takoyaki Tanpa Acuan
Sumber: FB

Cara memasak:
1. Campurkan tepung gandum, gula, garam dan air panas dan gaul sehingga sebati.
2. Masukkan pula bahan-bahan tambahan seperti kobis, daun sup dan cili.
3. Kemudian, masukkan bahan-bahan tambahan pilihan anda seperti sotong, sosej atau isi ketam.
4. Seterusnya, bulatkan dan gorengkan dalam minyak yang panas.
5. Apabila sudah siap digoreng, letakkan sos takoyaki dan mayonis serta topping bonito flakes, rumpai laut dan daun sup.

Mudahkan? Selamat mencuba!

Sumber: Wan Muhammad Hafiz Satar