
Teknologi pengangkutan sememangnya sangat pesat pada masa kini terutamanya untuk mengurus logistik dari satu tempat ke tempat yang lain dalam masa yang singkat.
Antara teknologi pengangkutan yang boleh dikatakan paling berjaya dan amat efisen tentulah teknologi pesawat. Perjalanan dari lokasi yang sebelum ini mengambil masa berhari-hari dapat dipendekkan dengan adanya kapal terbang.
Tahukah anda, terdapat beberapa tempoh penerbangan yang amat pendek di dunia sehinggakan kita tidak terasa pun nikmat penerbangan itu? Jom kita ikuti turutan di bawah.
5. Connemara ke Inishmaan (Ireland) – 7 Minit
Lapangan Terbang Wilayah Connemara terletak 27 kilometer dari bandar Galway. Menariknya ialah perjalanan dari bandar Galway ke Lapangan Terbang Wilayah Connemara mengambil masa yang lebih lama berbanding penerbangan ke Pulau Inishmaan.
Tempoh masa penerbangan mengambil masa dalam tempoh 6 hingga 7 minit bagi setiap perjalanan dengan jarak sejauh 16 kilometer.
4. Karpathos ke Kasos (Greece) – 5 minit
Penerbangan ke pulau-pulau Greece dijalankan oleh Olympic Air. Pulau Karpathos dan Pulau Kasos yang memiliki populasi yang sedikit menjadikan khidmat kapal persiaran di Laut Aegean tidak melalui kedua-dua lokasi tersebut.
Jarak keduanya adalah lebih kurang 20 kilometer dan mengambil masa dua jam jika menaiki feri. Namun, dengan menaiki pesawat, ia hanya mengambil masa lima minit sahaja tempoh penerbangan.
3. Caye Chapel ke Caye Caulker (Belize) – 2 minit
Caye Chapel adalah pulau mesra pelancong di Belize yang mempunyai tarikan terumbu karang, padang golf dan landasan kapal terbang.
Walaupun begitu, Caye Caulker lebih banyak tarikan pelancong berbanding Caye Chapel menjadikan kurangnya orang datang ke Caye Chapel. Ini menjadikan perkhidmatan ke Caye Chapel terbatas melalui teksi air.
Namun, pelancong yang ingin menjalani percutian persendirian boleh menaiki penerbangan Maya Island Air ulang alik kedua-dua pulau tersebut dalam tempoh masa dua minit dengan jarak hanya sejauh empat kilometer.
2. Kegata ke Apowo (Indonesia) – 1 minit
Jarak yang memisahkan Kegata dan Apowo hanyalah sejauh dua kilometer namun untuk melalui jalan darat amatlah sukar kerana kawasan bukit curam dan berhutan di antara kedua lokasi ini.
Pesawat digunakan bagi menghubungkan kedua kawasan ini dengan mudah. Ia tidak dikira sebagai penerbangan komersil kerana tidak mempunyai penerbangan berjadual yang menjadi syarat utama untuk menjadi penerbangan komersil walaupun pelanggan membayar perkhidmatannya.
Pesawat yang digunakan adalah yang berenjin tunggal dan mampu membawa sehingga 10 orang penumpang. Menariknya, selepas berlepas, anda sudah bersedia untuk mendarat semula.
1. Westray ke Papa Westray (Scotland) – 50 saat
Pulau Westray punya populasi sebanyak 600 orang dan Pulau Papa Westray punyai populasi sebanyak 90 orang. Jarak antara keduanya adalah sejauh 3 kilometer dimana ini adalah panjang standard landasan pesawat besar.
Syarikat penerbangan Loganair menyediakan perkhidmatan ini yang mengambil masa di antara 47 saat ke 53 saat. Rakyat Scotland menggelarkannya sebagai jambatan udara dan penerbangan ini telah berulang alik dari pulau ke pulau selama 50 tahun.
Sumber: Iluminasi