
travel360.com, platform digital majalah dalam penerbangan AirAsia travel360, mengumumkan kerjasama dengan organisasi bukan keuntungan Yellow House dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk memperindahkan bandar Kuala Lumpur dan memperkasakan komunitinya.
Melalui kerjasama ini, travel360.com berharap untuk menyediakan pengalaman perjalanan sebenar dengan mengintegrasikan komuniti dan kisah mereka. Menerusi kerjasama dengan Yellow House melalui projek ‘Unseen Tours KL’, travel360.com akan menawarkan program lawatan ‘travel360 Dance-walking Tour’ yang eksklusif, diterajui oleh rakan jalanan dan komuniti yang kurang bernasib baik yang terlatih sebagai pemandu pelancong.
Acara itu dirasmikan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur ke-12 YBhg. Dato’ Nor Hisham Ahmad Dahlan yang turut melancarkan sebuah mural khas bagi menandakan kerjasama itu. Turut hadir pada majlis tersebut adalah Ketua Pegawai Eksekutif travel360.com Spencer Lee dan Pengasas Yellow House Shyam Priah.
Ketua Pegawai Eksekutif travel360.com Spencer Lee berkata, “Perjalanan bukan hanya terhad kepada percutian penuh keseronokan tetapi juga pengembaraan dan penemuan. Kini ramai mencari pengalaman sosial yang melibatkan komuniti dan budaya. Justeru, kami teruja akan kerjasama ini untuk melihat kuasa sektor pelancongan dalam mengubah kehidupan komuniti yang datang dari pelbagai latar belakang. Program lawatan eksklusif ini juga merupakan inisiatif untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada rakan-rakan jalanan di Kuala Lumpur dengan melatih mereka untuk menjadi pemandu pelancong yang berpengalaman. Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Yellow House dan DBKL atas sokongan mereka dalam merealisasikan visi ini.”
Pengasas Yellow House Shyam Priah berkata, “Projek ‘Unseen Tours KL’ bukanlah untuk memfokuskan kepada sisi kemiskinan di Kuala Lumpur. Tetapi ianya berdasarkan pengalaman dan pengetahuan oleh rakan-rakan jalanan kita. Jadi, pada hakikatnya, kita telah mengalihkan kelemahan mereka menjadi kekuatan dengan memberi peluang untuk membuat sesuatu yang akan meningkatkan taraf kehidupan mereka. Projek ini juga mentranformasikan, memampankan dan mengembalikan martabat mereka. Dengan kerjasama seperti ini, kami berharap untuk memperkasakan lebih banyak kehidupan kerana model perusahaan sosial ini membolehkan ia turut dijalankan di bandar-bandar lain.”
Datuk Bandar Kuala Lumpur ke-12 YBhg. Dato’ Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, “Kami mengalu-alukan kerjasama seperti ini kerana ia benar-benar menunjukkan bahawa organisasi yang berbeza boleh berganding bahu untuk untuk terus meletakkan bandar ini di mata dunia. Kami juga yakin bahawa mural terbaru di bandar ini akan menjadi satu tarikan tambahan yang positif dan pasti menarik pelancong asing dan tempatan.”
Terletak di Lorong Bandar 20, Jalan Tun H.S. Lee di pusat bandaraya Kuala Lumpur dan berhampiran dengan Kuil Sri Mahamariamman, mural tersebut adalah bukti kepada apa yang dapat dicapai melalui kerjasama organisasi dan NGO untuk tujuan sosial. Buaian tersebut menggambarkan semangat rakan-rakan jalanan yang positif. Unsur interaktif juga digambarkan pada mural tersebut untuk menggalakkan orang ramai berkongsi minat mereka untuk melancong.
Tiket lawatan ‘travel360 Dance-walking Tour’ boleh didapati di laman http://www.travel360.com/dancewalkingtour atau https://yellowhousekl.com/unseentourskl/travel360-dance-walking-tour untuk RM85 seorang. Lawatan unik ini membawa pelawat menyertai tarian dan persembahan kilat berkumpulan (flash mob) di sekitar mercu tanda tempatan dan lorong-lorong menarik untuk melihat, mendengar dan mengalami bandar Kuala Lumpur. Para peserta juga akan mempelajari sejarah bandar Kuala Lumpur sejak tahun 1800-an termasuklah bagaimana ianya berkembang pesat seperti ke hari ini.