
Kerajaan akan membincangkan pelaksanaan cukai eksais bagi minuman bergula pada mesyuarat kabinet akan datang dalam usaha membudayakan gaya hidup sihat.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, pelaksanaan cukai ini telah dijalankan di beberapa negara jiran seperti Brunei, Thailand, dan Filipina dan telah terbukti berjaya.
Cadangan itu adalah antara 12 polisi dasar ke arah hidup sihat yang dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Ke Arah Persekitaran Hidup Yang Sihat yang dipengerusikannya.
Menurut beliau, hasil daripada kutipan cukai itu akan disalurkan ke dalam dana Kumpulan Wang Disatukan.
Selain itu, beberapa cadangan lain yang memerlukan penelitian lanjut termasuk penguatkuasaan larangan mengiklan makanan dan minuman tidak sihat kepada kanak-kanak serta cadangan dasar memasukkan kriteria tahap risiko mencegah penyakit tidak berjangkit (NCD) dalam urusan pengambilan anggota baru, kenaikan pangkat dan penilaian prestasi penjawat awam.
Mungkin Malaysia akan menjadi negara kurang masalah obesiti sekali gus meningkatkan peratusan rakyat mengamalkan gaya hidup sihat jika cukai eksais minuman bergula dilaksanakan.
Sumber: Harian Metro