
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan telah mengadakan program Malaysia Fair Tokyo 2018 buat julung kalinya yang berlangsung selama 3 hari di Shinjuku Chuo Park. Program yang diadakan ini mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada masyarakat Jepun dan juga komuniti rakyat Malaysia di sana.

Program yang dirasmikan oleh Duta Besar Besar Malaysia ke Jepun, Ahmad Izlan Idris ini menampilkan pelbagai menu sajian tempatan. Menariknya, pengunjung sanggup beratur panjang walaupun hujan sehingga kebanyakan makanan habis dijual dalam tempoh yang singkat! Antara juadah yang mendapat sambutan padu ialah nasi lemak, kuih-muih tradisional seperti puteri ayu, karipap, seri muka dan pisang goreng.

Selain memperkenal keunikan kebudayaan dan kesenian pelbagai etnik di Malaysia, program ini juga turut membuka peluang kepada usahawan Malaysia mempromosikan produk mereka di Jepun.
Menerusi program ini juga, produk halal Malaysia mendapat permintaan yang tinggi menjelang Temasya Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020. Ini menunjukkan Malaysia semakin dikenali di hati rakyat Jepun.
Diharapkan program seperti ini dapat meningkatkan industri pelancongan Malaysia dengan kedatangan pelancong dari Jepun. Justeru, kita sebagai rakyat Malaysia perlu berbangga dengan mempromosikan budaya dan makanan tradisi kita agar terkenal di seantero dunia.
Sumber: Berita Harian