5 Resipi Pasta Cita Rasa Malaysia Sempena Hari Wanita Sedunia

Setiap tahun pada 8 Mac, kaum hawa diraikan sempena Hari Wanita Sedunia sebagai tanda sokongan kepada mereka.

Apa kata sempena sambutan hari wanita, kaum lelaki meraikan mak, adik-beradik perempuan, isteri atau teman istimewa dengan memasak pasta kepada mereka.

Boleh cuba antara 5 resipi pasta di bawah ini.

resipi pasta
Sumber: Fuel Shack

1. Pasta Salad Berempah

Bahan-bahan:
180gm pasta sayuran pelbagai bentuk (rebus)
1/2 biji cili benggala hijau (potong dadu)
3 sudu makan minyak jagung
1/2 sudu serbuk paprika
1/2 sudu serbuk jintan manis
1/4 sudu serbuk ketumbar
1 sudu madu
1/2 biji lemon
Sedikit daun ketumbar (dihiris halus)
Sedikit garam dan lada hitam
1 botol kosong

Cara memasak:
Campurkan minyak dan rempah paprika, jintan manis, ketumbar berserta madu ke dalam botol kosong, goncang sehingga bahan sebati.
Masukkan pasta dan minyak berempah lalu gaul sehingga semua bahan mesra.
Tambahkan lada benggala dan daun ketumbar.
Kemudian perasakan dengan garam dan lada, perahkan jus lemon sebelum dihidang.

2. Spageti Ayam Cili Benggala

Bahan-bahan:
250gm spageti direbus
200gm isi dada ayam dihiris
1 biji cili benggala hijau dipotong panjang
1 sudu makan bijan hitam
1/2 cawan santan pekat
1/4 cawan air
1 biji bawang bombay dimayang
1 kiub ayam
1 helai daun bay kering
Garam dan lada sulah secukup rasa
Sedikit herba parsley kering
Sedikit minyak untuk menumis

Cara memasak:
Panaskan minyak dan tumis bawang bombay sehingga sedikit kuning lalu masukkan lada benggala.
Tumis sehingga cili benggala masak. Masukkan ayam dan goreng sehingga separuh masak
Kemudian masukkan kiub ayam, daun bay, sedikit herba parsley kering dan air lalu direneh sehingga masak.
Masukkan spageti sudah direbus ke dalam sos dan reneh sehingga masak.
Sesuaikan rasa dengan garam dan gula mengikut cita rasa anda.

3. Oglio Olio Bersama Emping Cili

Bahan-bahan:
250g pasta sayuran campuran direbus
3 biji bawang putih dicincang
2 biji cili padi dihiris halus
1 sudu teh stok ayam
1 sudu makan jus lemon
1 sudu teh serbuk cili
Garam dan minyak jagung untuk menumis
Herba parsley secukup rasa

Cara memasak:
Tumis bawang putih dengan minyak sehingga kekuningan. Masukkan cili padi, stok ayam dan tumis sehingga garing.
Campurkan pasta dan jus lemon. Tambahkan garam dan herba parsley mengikut cita rasa anda. Segera hidangkan panas-panas.

4. Makaroni Sambal Tumis

Bahan-bahan:
300gm makaroni yang sudah direbus separuh masak
70gm ikan bilis digoreng garing
10 tangkai cili kering dibuang biji, rebus dan kisar
1 biji bawang besar dihiris
3 biji bawang besar
3 ulas bawang merah
1 keping asam gelugor
Secubit ikan bilis mentah
Sedikit belacan
Garam secukup rasa
2 sudu besar gula apong
Minyak untuk mengoreng

Cara memasak:
Kisar bawang besar, bawang merah, ikan bilis, belacan sehingga halus.
Panaskan minyak yang banyak dan tumis bahan kisar sehingga naik bau.
Masukkan cili kisar dan tumis dengan menggunakan api yang kecil supaya cili betul betul masak dan tidak hangit.
Apabila cili masak garing dan pecah minyak, masukkan sedikit gula dan garam terlebih dahulu sekadar untuk menggaringkan sambal.
Kemudian masukkan sedikit air supaya cili tidak hangit. Selepas itu, baru masukkan asam gelugor, gula apong dan garam secukupnya serta bawang besar hiris.
Akhir sekali, masukkan ikan bilis dan biarkan merenih lama lama sehingga sambalnya agak pekat dan terbit minyak.
Tambahkan macaroni dan masak sehingga semua sebati.

5. Pasta Ikan Bilis Tomato

Bahan-bahan:
250gm linguine direbus al dente
50gm ikan bilis goreng
5 biji tomato besar masak ranum potong kecil
1 biji bawang bombay dimayang
1 cawan air
1 kiub ayam
1 helai daun bay kering
Garam dan lada sulah secukup rasa
Sedikit herba parsley kering
Sedikit minyak untuk menumis

Cara memasak:
Panaskan minyak dan tumis bawang bombay sehingga sedikit kuning lalu masukkan tomato.
Tumis sehingga separuh garing. Masukkan air dan reneh sehingga masak.
Kemudian masukkan ikan bilis kiub ayam, daun bay dan sedikit herba parsley kering dan biarkan seketika.
Tambahkan linguine yang sudah direbus kedalam sos dan reneh sehingga masak.
Perasakan dengan garam dan lada sulah mengikut cita rasa anda.
Pasta sedia dihidangkan.

Selamat mencuba!

Sumber: Cook.Eat.Love