Resipi Onde-Onde Luar Biasa Berinti Teh Tarik

Dengar sahaja pasti tertanya-tanya bagaimana rasa gabungan kuih tradisional ini dengan perisa teh tarik.

Sangat sesuai untuk dijadikan sebagai antara juadah jamuan makan atau pun juadah berbuka puasa. Masa penyediaannya juga tidak lama dan mudah untuk dimasak.

Bahan-bahan inti teh tarik:

2 sudu besar serbuk teh
5 cawan air
1 tin susu pekat
1 cawan gula
8 sudu besar serbuk gelatin sayuran

Bahan onde-onde:

2 cawan tepung pulut
2 cawan air
5 helai daun pandan
2 cawan kelapa parut (putih)
2 sudu teh garam

Onde-onde teh tarik
Sumber: Iluminasi

Cara penyediaan:

Inti teh tarik

1. Bancuh serbuk teh dengan 4 cawan air dan didihkan selama 3 minit. Tutup api dan biarkan teh selama 10 minit.
2. Sementara menunggu teh kembang, campurkan serbuk gelatin sayuran dengan lebihan air untuk melarutkan gelatin.
3. Tapis serbuk teh daripada teh dan tambah susu pekat dan gula. Reneh teh selama 15 minit sehingga ia menjadi teh pekat.
4. Cairkan gelatin di dalam ketuhar gelombang atau atas periuk bertingkat dan kemudian tambah teh. Bekukan teh tersebut di dalam peti sejuk.
5. Keluarkan dari acuan agar-agar teh tarik dan ketepikan.

Onde-onde:

1. Kisar daun pandan dengan 2 cawan air dan toskan.
2. Satukan jus pandan dengan air pada tepung. Uli sehingga sebati.
3. Potong agar-agar teh tarik menjadi kepingan kecil. Ambil sedikit doh onde-onde dan leperkan. Letak beberapa keping agar-agar teh tarik di tengah dan gulung doh seperti bola.
4. Masukkan onde-onde ke dalam air mendidih dan masak sehingga onde-onde terapung di permukaan.
5. Golekkan onde-onde di atas kelapa parut yang dicampur dengan garam sehingga ianya betul-betul bersalut sebelum dihidang.

Tip: Jika doh onde-onde kering dan menjadi keras ketika diuli, percikkan sedikit air ke atas doh dan letak sedikit tepung di tangan anda sebelum menguli semula.

Selamat mencuba!

Sumber: Harian Metro