Pernah makan atau dengar hidangan cheesekut? Salah satu pencuci mulut paling mudah dibuat, tidak perlu menguli doh, memotong bahan, mengukus, menumis, merebus mahupun menggoreng.
Bagi anda yang sukakan rasa keju, hidangan ini pasti wajib cuba. Memadai dengan menyediakan bahan ringkas seperti biskut, krim keju, bancuhan kopi 3 dalam 1, susu pekat manis dan cip coklat.
Jom cuba!
Bahan-bahan:
250g krim keju
50ml susu pekat manis
1/2 cawan cip coklat
1 cawan bancuhan kopi (suhu bilik)
Biskut Cream Crackers
Cara memasak:
1. Masukkan krim keju bersama susu pekat manis dan adun sebati.
2. Pastikan bancuhan krim keju sekata dan lembut.
3. Celupkan biskut ke dalam bancuhan kopi.
4. Letak sedikit bancuhan krim keju dan susun biskut.
5. Lapis bahagian atas biskut dengan keju dan ulang langkah lima hingga enam kali sehingga penuh.
6. Sempurnakan bahagian atas cheesekut dengan taburan cip coklat. Sejukkan selama satu jam.
Tip: Boleh menambah ‘aksesori’ lain seperti jem buah, kekacang, kismis, taburan keju serta pelbagai bijirin. Sementara hiasan atas pula boleh digantikan dengan taburan cip coklat putih, parutan kelapa kering, keju, serbuk biskut atau dibiarkan kosong.
Sumber: Harian Metro