Malaysia adalah rumah kepada sejumlah besar gua, termasuk beberapa yang terbesar dan terpanjang di dunia. Antara perkara yang menarik di gua Malaysia misalnya Batu Caves di Selangor mengandungi kuil Hindu yang menjadi tarikan bukan sahaja penyembahnya di seluruh negara, malah pengunjung luar yang ingin melihat sesuatu budaya.
Turut terdapat gua yang terkenal dengan tapak arkeologi yang mempunyai artifak berusia 40,000 tahun sementara yang lain mengandungi lukisan dinding purba yang boleh dilihat sehingga ke hari ini.
Perkara biasa yang kita akan jumpa apabila eksplorasi dalam gua antaranya melihat tumbuhan luar biasa, kelawar dan burung layang-layang. Tapi, sebuah gua di Sabah ini menempatkan jutaan lipas!

Gua Gomantong dengan keluasan 3,297 hektar terletak dalam daerah Kinabatangan ini diiktiraf sebagai Pengurusan Gua Sarang Burung Terbaik Di Dunia oleh Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF). Gua ini terkenal dengan sarang burung walet dan sarangnya menjadi sumber pendapatan masyarakat sekitar dengan hasilnya dituai selama berabad-abad lagi.
Di siling gua tinggal berjuta-juta kelawar, sementara di lantainya pula dilitupi lipas, kumbang, tikus dan pepijat yang menggelikan termasuk pelbagai spesies ular. Bagi mereka yang fobia denga lipas, inilah masanya untuk mencuba mengatasi masalah itu.
Tidak perlu khuatir kerana serangga dan binatang ini tidak menggangu pengunjung yang memasuki gua berkenaan kerana kehadiran mereka hanyalah untuk kelangsungan hidup dengan memakan tahi dan bangkai kelawar.
Untuk ke Gua Gomantong, tiada perkhidmatan pengangkutan awam tetapi pelawat boleh menyewa kenderaan dari Bandar Sandakan. Bayaran masuk pula sebanyak RM5 bagi pengunjung tempatan dan RM2 untuk pelajar.
Sumber: BH, Sabah Post