Air Tadahan Hujan Bakal Dikomersial Sebagai Minuman, Masuk Pasaran Malaysia Mulai Tahun Depan

Memandangkan Malaysia antara negara yang mempunyai taburan hujan yang tinggi sepanjang tahun, Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) bakal memperkenalkan air minuman berbungkus daripada sumber air hujan.

Usaha ini dipergiatkan untuk memanfaatkan air sumber alam yang selama ini tidak begitu dipedulikan dan menjadi air minuman tambahan selepas air galian dan air minuman biasa.

Air hujan botol ini bakal dipasarkan di Malaysia sekitar tahun hadapan adalah merupakan air hujan terawat pertama di negara ini, menggunakan dua jenama iaitu CloudRain dan Raindrop.

Menurut Pegawai Penyelidik Kanan, Unit Sumber Air, Pusat Kajian Sumber Air dan Perubahan Iklim NAHRIM, Ir Marini Mohamad Ideris, AMB melalui pelbagai kajian dan penyelidikan dan mendapat lesen daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 21 Sept 2018 untuk dikomersialkan.

Proses bermula dengan penuaian air hujan yang dilakukan di dua lokasi membabitkan kawasan pedalaman dan kawasan bandar.

“Kami memilih melakukan penuaian air hujan di kawasan hutan simpan di Kuala Tahan, Jerantut, Pahang dan satu lagi di NAHRIM sendiri iaitu di Sri Kembangan, Selangor. Tujuaannya untuk melihat perbezaan kualiti air hujan yang turun di kawasan pedalaman dan di bandar.

Air Minuman Hujan Bakal Dipasar Malaysia Tahun Depan
Sumber: Bernama

Proses perawatan dan pembotolan air hujan ini perlu melalui beberapa peringkat proses tertentu bagi menjamin kualiti dan piawaian yang ditetapkan.

Air hujan akan dituai dan disaring menggunakan ‘filter first flush’ dan disalurkan ke dua tangki penyimpanan yang boleh memuatkan sehingga 2,000 liter setiap satu. Ia kemudian dimasukkan ke dalam tangki untuk menjalani proses penapisan berteknologi micro nano carb sebelum disalurkan ke tangki pengumpulan.

Namun buat masa ini produk air hujan terawat ini hanya boleh didapati di NAHRIM yang digunakan ketika majlis-majlis rasmi.

Sumber: Bernama