Lima Resipi Masakan Yang Tidak Gunakan Bawang, Sama Lazat Dan Jimat

Belakangan ini, orang ramai terus merungut berikutan kenaikan mendadak harga bawang merah India sejak tahun lepas kerana bekalan didakwa semakin kurang. Harga terpaksa dinaikkan oleh pemborong dan peruncit kerana dikatakan tiada pilihan, mendakwa mereka juga memperoleh bekalan daripada pembekal pada harga tinggi.

Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dilaksanakan ini, dilaporkan bawang besar dan telur ayam menjadi barangan runcit paling laris kerana mendapat permintaan tinggi sehingga cepat kehabisan stok.

Sudahlah harga bawang meningkat, stok pula sering habis. Bagi mereka yang mempunyai halaman luas, bolehlah berpeluang untuk menanam sendiri bawang tetapi bagi mereka yang tiada peluang itu harus bagaimana untuk melakukannya?

Kita sedia maklum, masakan Malaysia kebanyakannya memerlukan bawang sebagai bahan untuk lebih menyedapkan dan menyempurnakan sesuatu hidangan itu. Namun, ada juga beberapa resipi yang kita boleh masak di rumah tanpa menggunakan bawang.

Chef Sue M Arukin berkongsi tip alternatif untuk menggantikan bawang, antara yang boleh digunakan ialah daun kucai cina (leek), daun adas dan kucai (chives).

Selain itu, berikut merupakan beberapa masakan yang tidak perlu menggunakan bawang tetapi mampu melazatkan makanan dan yang penting, kita dapat jimatkan bawang di rumah!

1. Ayam Masak Lemak Cili Api Negeri Sembilan

Resipi Tanpa Bawang
Sumber: Pinterest

Bahan-bahan:

1/4 ekor ayam
10 tangkai cili api hijau ditumbuk lumat
Kunyit hidup sebesar ibu jari ditumbuk
2 batang serai
Sehelai daun kunyit
Sekeping asam keping
Santan

Cara memasak:

1. Masukkan ayam yang sudah dibersihkan bersama cili api, kunyit, dan serai. Gunakan api perlahan dan kacau sehingga kering air yang keluar daripada ayam.
2. Kemudian, masukkan santan cair sehingga mendidih, barulah masuk santan pekat, asam keping dan garam serta gula secukup rasa.
3. Masukkan daun kunyit dan masak sehingga ayam masak.

2. Ayam bakar ala Nando’s

ayam bakar mudah

Bahan-bahan:

1 ekor ayam dipotong 4
Sos tomato
Sos cili
Gula
Garam
2 sudu besar serbuk lada hitam
4 sudu besar serbuk paprika (atau lebih )
6 ulas bawang putih tumbuk lumat
120g mentega

Cara memasak:

1. Masuk mentega dan bawang putih, sos cili, sos tomato, serbuk lada hitam, serbuk paprik, garam, dan gula masak dengan api perlahan. Kacau sehingga mendidih. Sudah masak, letak ketepi.
2. Gaul bersama ayam lebih kurang 10 minit biar rata. Perap dengan plastik simpan dalam peti ais semalaman.
3. Kemudian bakar dengan suhu 180 darjah selama sejam. Selepas 30 minit pertama terbalikkan.

3. Nasi Goreng Kampung Yatie Kitchen

Resipi Tanpa Bawang
Sumber: FB Yatie Kitchen

Bahan-bahan:

Cili api
Bawang putih
Ikan bilis
2 biji telur
Serbuk lada sulah
Serbuk cendawan atau secukup rasa
Garam
Nasi putih

Cara memasak:
1. Goreng 2 biji telur dan ketepikan. Kemudian tumis cili api, bawang putih, ikan bilis yang ditumbuk sehingga garing.
2. Masukkan garam dan secukup rasa kemudian nasi putih.
3. Masukkan daun sup dan serbuk lada sulah. Siap untuk dihidangkan.

4. Ayam teriyaki

Resipi Tanpa Bawang
Sumber: Hijab & Heels

Bahan-bahan:

2 keping isi dada ayam dihiris
1/4 cawan kicap cair
2 sudu makan cuka makan
1 sudu makan parutan halus halia
2 sudu makan minyak bijan
1 sudu makan gula perang/gula putih
1 sudu makan sedikit minyak masak
1 sudu makan bijan putih digoreng tanpa minyak
Daun bawang dihiris halus
Garam dan gula secukup rasa

Cara memasak:

1. Bersihkan dada ayam, hiris memanjang setebal anggaran 1/2cm.
2. Dalam mangkuk, gaulkan dada ayam bersama kicap cair, cuka makan, parutan halia, minyak bijan dan gula. Perap selama 15 minit.
3. Goreng ayam tanpa minyak sehingga masak dan ketepikan.
4. Sementara itu, campurkan minyak bijan, cuka makan, kicap cair dan gula dalam mangkuk. Kacau rata.
5. Panaskan minyak, tumiskan parutan halia hingga wangi.
6. Seterusnya, masukkan campuran sos tadi, kacau rata dan biarkan hingga kuah pekat.
7. Masukkan ayam dan tutup api. Taburkan bijan dan gaul rata.
9. Sebelum dihidangkan taburkan sedikit lagi bijan dan hirisan daun bawang jika suka.

5. Ayam Mentega

Resipi Tanpa Bawang

Bahan-bahan:
500 gram isi ayam dipotong kecil
1 pek tepung goreng (contoh tepung Bestari)
5 sudu besar mentega
6 ulas bawang putih dicincang
4-5 tangkai cili padi dihiris halus
1-2 tangkai daun kari
200 ml susu cair
1/2 sudu besar tepung jagung dibancuh dengan sedikit air – pilihan
Secukup rasa

Cara memasak:

1. Gorengkan kepingan ayam dipotong tadi bersama salutan tepung dan ketepikan.
2. Masukkan mentega dan biarkan mentega cair dan panas. Tumis bawang putih dan cili padi sehingga bawang naik bau dan berwarna sedikit kekuningan.
3.
Masukkan susu cair dan kacau rata. Masukkan daun kari, gula dan garam. Setelah secukup rasa, masukkan bancuhan tepung jagung untuk memekatkan.
4. Akhir sekali, masukkan ayam yang telah digoreng. Gaul rata rata dan sedia untuk dihidangkan panas-panas.

Selamat mencuba!