Sejak kecil lagi, kita mengenali kuih dorayaki bermula daripada animasi Jepun Doraemon. Kuih mirip pankek ini sebenarnya kuih tradisional Jepun (wagashi) sejak zaman dahulu, berbentuk bundar, sedikit tembam dan terdiri daripada dua lapis kuih yang dilekatkan dengan mentega kacang merah.
Nama ‘dorayaki’ adalah gabungan dari perkataan Jepun, ‘dora’ membawa maksud gong dan ‘yaki’ bermaksud panas kering. Nama ini dipercayai diberikan kerana persamaan bentuknya kepada perkusi gong logam, Japantimes.
Walaupun asal usul dorayaki dipercayai berasal dari zaman kuno, dorayaki dengan bentuk seperti pankek hanya terkenal pada awal abad ke-20. Semasa Zaman Edo (1603-1867), dorayaki dikenali sebagai kek lipat seperti omelet atau sandwic pucat bulat, dengan adunan yang lebih nipis.
Di Malaysia, makanan ringan ini mulai diperkenalkan di dalam anime Doraemon. Watak robot Doraemon mempunyai kegemaran memakan dorayaki. Dorayaki yang dijual di kedai-kedai Malaysia kebanyakannya sudah disesuaikan dengan selera tempatan seperti dorayaki berisi coklat dan kaya.
Di sini, Makanlena ingin kongsikan dua resipi dorayaki iaitu versi original dan oreo. Resipi ini pastinya membuatkan dorayaki anda gebu dan lazat! Mudah sahaja bahan-bahan yang diguna.
Dorayaki original
Bahan-bahan:
2 biji telur
1/4 cawan gula
1 sudu madu
1/2 sudu kecil tepung penaik
1 cawan tepung gandum
3-4 sudu susu segar
Garam
Nutella
Cara membuat:
1. Masukkan 2 biji telur ke dalam mangkuk. Kemudian masukkan 1/4 cawan gula dan 1 sudu madu dan kacau bahan-bahan tersebut.
2. Kemudian tambahkan 1/2 sudu kecil tepung penaik, 1 cawan tepung gandum dan kacau lagi.
3. Seterusnya, ,asukkan 3 hingga 4 sudu susu segar. dan tambah sedikit garam, kacau hingga sebati.
4. Panaskan kuali (non-stick pan) dan selaraskan ke api kecil. Tuang 1 senduk adunan tadi dan bentukkan bulat seperti dorayaki.
5. Tunggu hingga nampak buih lubang-lubang pada permukaannya. Kemudian terbalikkan posisi dorayaki.
6. Apabila sudah keperang-perangan, angkat dan isikan intinya dengan Nutella dan apitkan.
Resipi ini juga boleh digantikan dengan inti pelbagai jenis jem, mentega kacang merah, kaya dan lain-lain.
Dorayaki oreo
Bahan-bahan:
1 paket oreo original
1 biji telur
3/4 sudu teh tepung penaik
85ml susu coklat
50gm whipping cream
Cara membuat:
1. Pisahkan biskut oreo dengan krimnya. Kisarkan biskut, tepung penaik, telur dan susu coklat sehingga adunan halus kemudian ketepikan.
2. Panaskan kuali (non-stick pan), sapu sedikit minyak. Tuangkan adunan oreo di atasnya.
3. Tunggu hingga nampak buih lubang-lubang pada permukaannya. Kemudian terbalikkan posisi dorayaki.
4. Apabila sudah masak, sapukan dorayaki dengan krimnya.
Cara membuat krim:
Kisarkan krim yang dipisahkan dengan biskut oreo tadi, whipping cream dan sedikit air sehingga adunan kembang. Simpan di dalam peti sejuk dahulu baru sapu pada dorayaki.
Selamat mencuba!