Letak Garam Sebelum Atau Selepas Memasak Beri Kesan Berbeza Pada Masakan

Kebanyakan kita ketika memasak tidak pernah terfikir untuk meletakkan garam pada masakan pada waktu tertentu. Kebiasaannya kita akan letak garam ikut naluri hati sahaja, bukan?

Sebenarnya, rasa makanan kita boleh berubah bergantung kepada waktu meletakkan garam ketika memasak iaitu sama ada sebelum, semasa mahupun selepas.

Umum mengetahui, garam merupakan antara bahan penambah perasa dalam masakan yang menjadi pelengkap kepada hidangan kita.

Seperti yang diterangkan seorang pengguna Facebook yang juga ahli kimia, Dr Fatimah Salim, penambahan garam ke dalam masakan adalah terpulang ikut suka dan tujuan masing-masing. Ia tidak akan berubah menjadi racun kecuali sengaja diambil secara berlebihan.

Beza Waktu Letak Garam Masakan

Menurut Dr Fatimah, garam terdiri daripada kristal natrium (sodium, Na) dan juga klorin (clorine, Cl). Rasa masin yang terbentuk adalah interaksi ion Na+ dengan deria rasa masin pada lidah. Bermaksud, tidak kiralah garam apa yang anda guna, kemasinan makanan adalah bergantung kepada jumlah ion natrium dalamnya.

1. Jika meletakkan garam pada awal masakan, ia akan memberikan rasa masin yang sebati kerana keterlarutan dan cukup serapan dalam komponen masakan.

2. Jika meletakkan garam selepas memasak tanpa kehadiran air, ia pula akan membuatkan rasa makanan lebih unik disebabkan sensari rasa kristal garam yang larut dalam air liur.

3. Jika meletakkan garam dalam masakan berprotein seperti daging lembu, ia akan membuatkan daging itu menjadi keras kerana garam berupaya mengeluarkan air/jus daripada isi daging kesan daripada tindak balas yang berlaku. Namun jika daging yang keras ini dimasak lebih lama, daging akan menjadi empuk semula dan akan memberikan rasa kuah yang lebih sebati.

4. Memerap daging dengan garam lebih daripada 40 minit boleh membuatkan daging menjadi lebih empuk apabila dimasak. Ini adalah kerana masa yang diberikan cukup untuk membantu melemahkan ikatan dalam protein daging, seterusnya membuatkan daging menjadi empuk.

5. Bagi memanggang daging tanpa perap, cukup untuk meletakkan garam apabila daging hendak dimasak terus. Perapan daging kurang daripada 40 minit boleh menyebabkan daging menjadi keras.

Justeru, gunakanlah tip yang dijelaskan Dr Fatimah apabila hendak memasak selepas ini. Pasti makanan anda akan bertambah lebih sedap!

Sumber: Fatimah Salim